Latihan Sembilang tingkat kefahaman TLDB, Polis Marin

Latihan Sembilang tingkat kefahaman TLDB, Polis Marin

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Latihan Sembilang siri ke-11 selama empat hari antara Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan Polis Marin, Polis Diraja Brunei (PDB) dihasratkan untuk mempertingkatkan lagi keberkesanan tahap keselamatan di perairan sungai, teluk dan persisiran pantai Negara Brunei Darussalam.

Pada masa yang sama, ia dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan meningkatkan kesefahaman di antara kedua-dua organisasi berkenaan ke tahap yang lebih tinggi, tekan Pemerintah Armada Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Leftenan Kolonel (L) Pengiran Mohamad bin Pengiran Haji Damit.

Leftenan Kolonel (L) Pengiran Mohamad ketika berucap di Perasmian Latihan Sembilang siri ke-11 yang berlangsung di Pusat Koordinasi Multi Nasional (MNCC), Muara, hari ini, berkata, “Saya percaya usaha berterusan ke arah meningkatkan kefahaman prosedur tetap dan taktik operasi bersama di antara kedua-dua belah pihak akan tercapai lagi pada latihan kali ini.”

Beliau menjelaskan lagi, latihan tahun ini akan melibatkan tiga fasa iaitu fasa pangkalan akan melibatkan latihan table-top dan juga seminar bersama agensi-agensi jemputan termasuk Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta Biro Kawalan Narkotik.

Sementara itu, bagi fasa laut, kawasan latihan kali ini menunjukkan satu peningkatan yang mana ia akan menumpukan kawasan sempadan barat dan juga pelantar-pelantar minyak berdekatan persisiran pantai.

Antara pegawai-pegawai Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Brunei yang menghadiri majlis berkenaan.
Antara pegawai-pegawai Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Brunei yang menghadiri majlis berkenaan.
Leftenan Kolonel (L) Pengiran Mohamad menyampaikan cenderahati kepada Superintenden Matusin (kiri).
Leftenan Kolonel (L) Pengiran Mohamad menyampaikan cenderahati kepada Superintenden Matusin (kiri).
Leftenan Kolonel (L) Pengiran Mohamad (4 kiri) bergambar ramai bersama para pegawai kanan TLDB dan Polis Marin selepas perasmian Latihan Sembilang siri ke-11.
Leftenan Kolonel (L) Pengiran Mohamad (4 kiri) bergambar ramai bersama para pegawai kanan TLDB dan Polis Marin selepas perasmian Latihan Sembilang siri ke-11.

Di akhir latihan pula, sukan interaksi antara kedua-dua pihak akan diadakan dengan harapan untuk mengeratkan lagi silaturahim dalam suasana riadah.

Leftenan Kolonel (L) Pengiran Mohamad turut menyeru kedua-dua belah pihak yang terlibat dalam latihan itu akan mengambil kesempatan melalui latihan dan kerjasama yang dilaksanakan untuk terus menjalinkan persefahaman serta meningkatkan tahap kepercayaan terhadap kemampuan dalam melaksanakan operasi dan keupayaan bersama kedua-dua organisasi ke arah kestabilan keselamatan dan keamanan maritim negara.

Turut hadir semasa majlis perasmian berkenaan ialah Pegawai Pemerintah KDB Darul Ehsan, Leftenan Kolonel (L) Willie bin Padan yang juga selaku Pemerintah Kumpulan Petugas bagi latihan berkenaan, Pegawai Pemerintah Polis Marin, Polis Diraja Brunei, Superintenden Matusin bin Haji Jumat yang juga selaku Timbalan Pemerintah Kumpulan Petugas bagi latihan berkenaan serta para pegawai kanan, pegawai dan anggota TLDB serta Polis Marin.

Latihan menyaksikan penyertaan daripada PDB 19, PDB 63 dan satu bahagian Pasukan Operasi Khas dari Polis Marin serta penyertaan dari TLDB meliputi KDB IJTIHAD, KDB SERASA dan satu bahagian dari Naval Surface Action Group (NSAG).

ARTIKEL YANG SAMA