Latihan sepadu 3 negara

Latihan sepadu 3 negara

MANILA, 18 Jun (AFP) – Filipina dijangka mengadakan latihan tentera laut serentak pada minggu depan dengan sekutu utama Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, kata tentera hari ini, sementara pembinaan China diteruskan di kawasan terumbu Laut China Selatan yang dipertikaikan.

Latihan tentera bersama tahunan dengan AS akan termasuk kapal terbang P3-Orion dan simulasi jatuh dan menyelamat helikopter berhampiran perairan yang dipertikaikan, kata pegawai.

Latihan bersama Pasukan Pertahanan Diri Laut Jepun, kali kedua diadakan, akan dilancarkan secara berasingan, namun pada minggu yang sama dengan latihan AS, kata jurucakap tentera laut Filipina Komander Lued Lincuna.

Lincuna tidak dapat memberikan butir-butir lanjut mengenai latihan kedua tetapi media Jepun, memetik sumber pegawai tanpa nama, berkata ia akan diadakan di Laut China Selatan.

Media Jepun juga berkata Jepun akan menurunkan sebuah pesawat udara pengawasan P3.

Pesawat P3-Orion milik AS yang akan menyertai latihan bersama tersebut. – AFP
Pesawat P3-Orion milik AS yang akan menyertai latihan bersama tersebut. – AFP

“Latihan bersama akan membantu tentera kami melayakkan dan membiasakan diri dengan peralatan moden. Terdapatnya perkongsian maklumat, teknik dan amalan terbaik pada peringkat taktikal,” beritahu Lincuna kepada AFP.

Beliau berkata latihan bersama tidak disasarkan pada China, yang telah membina pulau tiruan di terumbu Laut China Selatan yang dituntut oleh Filipina.

“Latihan dirancang dan dijadualkan secara tetap. Dengan Jepun, tumpuan adalah pada usaha mencari dan menyelamat dan bantuan bencana,” beritahu jurucakap hal ehwal luar negeri Filipina Charles Jose kepada AFP.

Latihan bersama AS, menurut Lincuna, akan diadakan berhampiran pulau Palawan, walaupun di luar pantai timur dan bukannya Laut China Selatan yang menghadap barat.