Latihan tangani tumpahan bahan kimia

Latihan tangani tumpahan bahan kimia

SINGAPURA, 28 Julai – Malaysia dan Singapura hari ini mengadakan latihan bersama di sepanjang perairan Selat Johor Timur untuk mengawal tumpahan bahan kimia di laut.

Latihan itu bagi menguji Pelan Tindak Balas Kecemasan Bersama (ERP) untuk menangani insiden tumpahan kimia dan hubungan komunikasi antara Pegawai Perhubungan Operasi (OLOs) dan Pegawai Perhubungan Persekitaran (ELOs) di kedua-dua negara.

ERP yang dibangunkan bersama oleh Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), Jabatan Marin Malaysia (MDM), Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) dan Jabatan Alam Sekitar Johor (DOE), bertujuan untuk menangani insiden kemalangan membabitkan pengangkutan bahan kimia berbahaya di sepanjang Selat Johor.

Latihan tindak balas kecemasan itu merupakan sebahagian daripada program kerjasama dua hala di bawah Jawatankuasa bersama Malaysia-Singapura mengenai Alam Sekitar (MSJCE). “Selat Johor ialah laluan yang sibuk. Latihan dua hala dari semasa ke semasa adalah penting untuk memantapkan keupayaan respon serantau dan pelbagai agensi.

“Latihan hari ini memastikan bahawa jika berlaku pelanggaran kapal yang menyebabkan tumpahan bahan kimia atau minyak, semua agensi bersiap siaga untuk respon dengan pantas dan efektif,” kata Ketua Eksekutif MPA, Andrew Tan dalam satu kenyataan di sini. – Bernama