Latihan tekankan kerjasama, koordinasi di lautan

Latihan tekankan kerjasama, koordinasi di lautan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Kerjasama dan koordinasi di laut atau perairan, merupakan dua perkara yang ditekankan oleh tentera-tentera laut yang menyertai Latihan Keselamatan Maritim dan Antikeganasan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM Plus MS & CT).

Latihan tersebut akan menguji kebolehan dan keserasian semua komponen tentera-tentera laut yang menyertai latihan serta memberi peluang kepada mereka untuk mengenali prosedur operasi masing-masing supaya dapat meningkatkan kerjasama dan mampu untuk beroperasi bersama secara selamat.

Perkara itu dijelaskan oleh Pegawai Pemerintah Kapal USS Stethem, Komander Harry L. Marsh kepada Media Permata semasa lawatan ke Kapal USS Stethem yang berlabuh di Pelabuhan Muara, hari ini.

Beliau menerangkan bahawa negara-negara yang menyertai latihan itu akan berkongsi pengalaman dan prosedur masing-masing dalam mengendalikan pelbagai operasi termasuk operasi mencari dan menyelamat dan menangani ancaman lanun.

“Semasa latihan itu, kami akan menunjukkan cara atau prosedur kami mengendalikan operasi mencari dan menyelamat. Kami juga akan berbincang dan berkongsi kaedah atau prosedur kami mengendalikan pelbagai operasi di mana semasa fasa latihan di laut nanti, kami akan menunjukkan prosedur kami menaiki kapal terutama semasa operasi menangani ancaman lanun,” kata Komander Harry.

Kapal USS Stethem yang turut terlibat dalam Latihan ADMM Plus MS & CT.
Kapal USS Stethem yang turut terlibat dalam Latihan ADMM Plus MS & CT.

Semasa latihan itu juga, beliau berharap dapat melihat prosedur yang digunakan oleh negara-negara rakan dalam mengendalikan operasi yang serupa. Komander Harry percaya bahawa perkongsian dan penyelarasan itu dapat membantu terutama apabila mereka perlu bekerjasama dalam keadaan di mana kejadian ancaman lanun berlaku, setiap pihak sudah tahu peranan masing-masing dan dapat melaksanakan operasi bersama dengan berkesan serta selamat.

Beliau menekankan bahawa latihan bersama memberikan peluang kepada semua negara yang mengambil bahagian untuk meningkatkan keupayaan mereka untuk berkomunikasi di antara satu sama yang lain supaya setiap pihak memahami peranan masing-masing, memahami gerak langkah dan memahami cara setiap negara beroperasi di laut.

“Setiap negara yang menyertai eksais ini merupakan negara yang mempunyai kepakaran maritim dan kami ingin mengetahui cara-cara mereka beroperasi supaya semasa berlaku krisis, kami tidak perlu belajar macam mana untuk berkomunikasi tetapi kami sudah tahu caranya kerana kami sudah melakukannya,” kata Komander Harry lagi.

Mengulas mengenai penyertaan dalam latihan itu secara berterusan, Komander Harry berkata bahawa pihaknya banyak mengadakan latihan bersama dengan negara-negara lain secara dua hala dan pelbagai hala yang melibatkan Armada Pasifik untuk meningkatkan keupayaan bersama dan khususnya latihan bersama Brunei menerusi Latihan CARAT yang merupakan latihan tahunan antara komponen tentera Brunei dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata dalam meningkatkan keupayaan operasi bersama, latihan harus dilaksanakan secara berterusan bersama negara-negara sahabat dan bukannya berhenti setelah selesai tempoh latihan tetapi terus diasah dan diperbaiki untuk menangani pelbagai ancaman atau cabaran baru yang datang.

Komander Harry ketika mengulas persoalan mengenai pengalaman yang dibawa ke dalam latihan berkenaan khususnya dalam menangani masalah lanun, beliau berkata bahawa pengalaman yang berguna itu akan dikongsi dengan rakan-rakan lain semasa latihan di mana segala pengajaran yang diperoleh dalam operasi menangani ancaman lanun seperti operasi yang melibatkan lanun di lautan berhampiran Somalia, dapat digunakan serta disesuaikan dengan keadaan ancaman lanun di perairan Asia Tenggara.

Beliau juga berkata bahawa semasa latihan itu, pihaknya juga amat cenderung untuk mempelajari daripada rakan-rakan latihan yang lain termasuk Brunei mengenai kaedah serta prosedur masing-masing supaya dapat meningkatkan lagi keupayaan operasi bersama.

Menerangkan ringkas mengenai kapal USS Stethem, Komander Harry berkata kapal sepanjang 505 kaki itu dibina di Pascagoula, Missouri, Amerika Syarikat dan ditauliahkan pada 21 Oktober 1995 dan berpangkalan di Yokosuka, Jepun.

Kapal itu dinamakan USS Stethem sebagai mengenang jasa dan pengorbanan Robert Stethem yang ditawan, diseksa dan dibunuh oleh pengganas semasa rampasan penerbangan Trans World 847 ke Beirut, Lubnan pada 14 Jun 1985.

Kapal itu mempunyai kelajuan 31 knot serta membawa seramai 262 orang anak kapal dan 34 orang pegawai di mana menurut Komander Harry kapal itu mengambil masa kira-kira 6 hari untuk berlayar dari pangkalannya di Jepun ke Brunei.

Latihan ADMM Plus MS & CT merupakan latihan bersama pelbagai negara dalam usaha untuk meningkatkan lagi keselamatan maritim serantau yang bermula hari ini hingga 12 Mei.

ARTIKEL YANG SAMA