Latihan tentera sepadu Malaysia, AS

Latihan tentera sepadu Malaysia, AS

SANDAKAN, 17 Ogos (Bernama) – Buat pertama kali, latihan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) menerusi Eksesais Kerjasama Kesiagaan dan Latihan (CARAT) 2015 dilaksanakan di perairan Sabah.

Ketua Staf Markas Angkatan Bersama Mej Jen Datuk Kamarulzaman Mohd Othman berkata perairan Sandakan dan Lahad Datu dipilih untuk eksesais selama 12 hari yang bermula sejak 10 Ogos lepas membabitkan 600 anggota ATM dan 350 anggota USN.

Katanya perairan Sandakan dan Lahad Datu dipilih untuk eksesais CARAT kali ke-21 ini kerana mempunyai perairan yang dalam dan luas serta kawasan pantai yang panjang.

“Eksesais CARAT bertujuan meningkatkan keupayaan dan saling khidmat dalam perancangan dan pelaksanaan operasi bersama serta gabungan antara kedua-dua angkatan tentera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan CARAT 2015 di KD Sri Sandakan, pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Memerintah Pasukan Petugas 73 USN Laksamana Muda Charles Williams.

Williams berkata peningkatan kerjasama ketenteraan yang disaksikan pada hari ini mempamerkan kematangan hubungan antara kedua-dua angkatan laut dan peserta eksesais ini akan bertukar-tukar amalan terbaik mereka dalam satu siri seminar ketenteraan.

Beliau berkata selepas lebih dari dua dekad pelaksanaan eksesais CARAT antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS), latihan perang itu kekal sebagai satu model kerjasama yang berubah dari segi kekompleksan dan membolehkan kedua-dua negara menghalusi operasi dan taktik maritim.

CARAT adalah satu kaedah praktikal untuk kedua-dua angkatan laut bekerjasama untuk berhadapan keutamaan keselamatan maritim dalam suasana latihan yang realistik.

“Perkongsian adalah penting di rantau ini, perkongsian yang berkekalan adalah lebih penting lagi,” katanya.