Laungan takbir bergema

Laungan takbir bergema

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, mengadakan Majlis Takbir Muqayyad, takbir khusus bagi Hari Raya Aidiladha dan bagi orang yang tidak mengerjakan Haji.

Majlis yang berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong itu dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Acara melaungkan Takbir Raya bagi kedua-dua Hari Raya di negara ini bukanlah suatu yang baru malahan telah pun dipraktikkan sejak berabad dahulu dan ia merupakan satu syiar dalam usaha melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di samping memberikan kesedaran kepada kita untuk mengamalkan suruhan Allah Taala dan menjauhi larangan-Nya.

Pada malam ini, Majlis Takbir Sempena Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1437H diadakan di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara dengan tumpuan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Menteri Hal Ehwal Ugama ketika menghadiri Majlis Takbir Muqayyad di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong kelmarin.
Menteri Hal Ehwal Ugama ketika menghadiri Majlis Takbir Muqayyad di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong kelmarin.

Turut serta memeriahkan lagi majlis takbir tersebut ialah anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, mahasiswa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) serta penduduk sekitarnya.

Majlis Takbir Sempena Hari Raya Aidiladha diadakan bagi menghidupkan malam Hari Raya Aidiladha yang akan disambut esok, 10 Zulhijjah 1437H di samping menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar melahirkan belia yang bertakwa serta memberikan kesedaran kepada belia dalam menghayati makna kandungan Takbir Hari Raya.

Dengan adanya majlis ini juga akan memupuk semangat belia dalam hidup berkumpulan dan mengeratkan silaturahim dengan mendekatkan diri belia dengan masjid dan mencintai masjid dalam menjadikan belia harapan agama, bangsa dan negara.

Terdahulu, acara di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya diikuti dengan laungan takbir oleh gabungan kumpulan belia masjid, mahasiswa KUPU SB dan UNISSA serta penuntut ITQSHHB.

Menurut kenyataan KHEU melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, sunat melaungkan takbir dengan suara yang ‘jahr’ (nyaring) sama ada di rumah, masjid, pasar atau sebagainya pada malam Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Aidiladha selepas terbenamnya matahari sehinggalah imam mengangkat takbiratulihram sembahyang Hari Raya.

Takbir ini dinamakan ‘mursal’ dan ‘mutlaq’ (takbir yang tidak terikat selepas sembahyang dan dilaungkan bila-bila sahaja). Takbir Muqayyad ini bermula pada Subuh hari arafah sehinggalah Asar di akhir hari tasyrik.

ARTIKEL YANG SAMA