Laungan takbir bergema

Laungan takbir bergema

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Negara Brunei Darussalam terutamanya rakyat dan penduduk yang berugama Islam akan meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban esok (24 September).

Sempena sambutan itu, masjid-masjid di seluruh negara akan mengadakan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha dengan tumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan Masjid Omar Ali Saifuddien.

Sehubungan itu, ke arah membesarkan dan mengalu-alukan kedatangan Aidiladha, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, malam ini mengadakan Acara Takbir Beramai-ramai Sempena Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1436H/2015M di masjid tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Acara Takbir Beramai-ramai sempena Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1436H/2015M di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Acara Takbir Beramai-ramai sempena Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1436H/2015M di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohammad Yusof, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Harun bin Haji Junid dan juga Awang Roslan bin Haji Taja’ah, para pengarah, pegawai dan kakitangan KHEU serta penduduk kampung yang tinggal di sekitarnya.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis dengan laungan takbir dimulakan oleh gabungan kumpulan belia masjid senegara.

Di akhir majlis, doa selamat telah dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali al-Hafiz.

Majlis seumpamanya juga diadakan secara serentak di masjid-masjid utama di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA