Lawan kelab EPL tidak bawa manfaat

Lawan kelab EPL tidak bawa manfaat

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) – Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan perlawanan persahabatan antara Pilihan Malaysia menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspurs di Stadium Shah Alam pada 27 Mei ini tidak membawa manfaat kepada skuad bola sepak kebangsaan.

Baginda yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berpendapat perlawanan itu tidak memberikan faedah kepada skuad Harimau Malaya dalam menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 pada Jun ini, selain ia dikatakan memberi keuntungan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan penganjur perlawanan.

“Pertama sekali, ia tidak membantu ranking dunia kita dan keduanya, ia tidak membantu persiapan pemain tempatan kerana terdapat lima pemain asing dipilih untuk bermain.

“Kita harus beri lebih fokus kepada FIFA Match Dates kerana ia boleh memberi lebih manfaat kepada performance dan ranking,” kata baginda dalam entri pasukan Johor Darul Ta’zim, Johor Southern Tigers, di laman Facebook hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata penggunaan pemain import dalam pasukan Pilihan Malaysia dijangka dapat meningkatkan prestasi pasukan negara pada perlawanan itu nanti.

Perlawanan itu turut dikritik penyokong bola sepak tempatan di laman sosial yang mendakwa ia tidak memberi manfaat terutamanya dalam meningkatkan ranking bola sepak Malaysia yang kini berada di kedudukan ke-166 dunia.

ARTIKEL YANG SAMA