Lawas juara Perahu Tradisi 30 Pekayuh Terbuka

Lawas juara Perahu Tradisi 30 Pekayuh Terbuka

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh PERKEBAR

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERKEBAR) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) baru-baru ini mengadakan Kejohanan Lumba Perahu Tradisional Kebangsaan kali ke-22 yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Serasa Muara.

Kejohanan tersebut disertai oleh sebanyak 30 buah pasukan yang melibatkan seramai 960 orang peserta (pekayuh).

Menurut kenyataan penganjur, sebanyak lima bahagian perlumbaan dan 13 kategori acara perlumbaan dipertandingkan iaitu Antara Kementerian, Jemputan Syarikat Swasta, Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab, Remaja (B22) dan Terbuka.

Salah satu acara kemuncak perlumbaan tersebut ialah perlumbaan Perahu Tradisi 30 Pekayuh Terbuka yang dijuarai oleh pasukan dari Lawas, Sarawak, Malaysia dengan mencatatkan masa 2 minit 52 saat, manakala naib johan ialah Majlis Lumba Perahu Kampung Lorong Dalam dan tempat ketiga diraih Pasukan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Di samping itu, juara bagi Kategori Lumba Perahu Fibre Glass 10 Pekayuh Antara Kementerian dan Kategori Lumba Perahu Fibre Glass 20 Pekayuh Antara Kementerian ialah Jabatan Perdana Menteri. Manakala, juara bagi Kategori Lumba Perahu Fibre Glass 10 Pekayuh Jemputan Syarikat Swasta ialah Heng Yi Regatta Team dan muncul juara bagi Kategori Lumba Perahu Fibre Glass 20 Pekayuh Jemputan Syarikat Swasta ialah DST Regatta Team.

Pemenang kategori Perlumbaan Perahu Tradisi 25 Pekayuh Terbuka bergambar ramai bersama Yang Dipertua PERKEBAR, Haji Haris bin Haji Ibrahim.
Pemenang kategori Perlumbaan Perahu Tradisi 25 Pekayuh Terbuka bergambar ramai bersama Yang Dipertua PERKEBAR, Haji Haris bin Haji Ibrahim.

Juara bagi Kategori Lumba Perahu Fibre Glass 15 Pekayuh Remaja (U22) ialah Seri Temburong.

Sekolah Menengah Sultan Hassan muncul juara bagi Kategori Lumba Perahu Fibre Glass 10 Pekayuh antara Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab dan Kategori Lumba Perahu Fibre Glass 20 Pekayuh antara Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab.

Tamoi Bersatu pula muncul juara bagi Kategori Lumba Perahu Fibre Glass 10 Pekayuh Terbuka dan bagi Kategori Lumba Perahu Fibre Glass 20 Pekayuh Terbuka pula, juara ialah Sayang Lawas. Bagi Kategori Lumba Perahu Fibre Tradisi 10 Pekayuh Terbuka dan Kategori Lumba Perahu Fibre Tradisi 25 Pekayuh Terbuka, juara ialah Sayang Lawas A dan Sayang Lawas B muncul juara bagi Kategori Lumba Perahu Fibre Tradisi 20 Pekayuh Terbuka.

Kejohanan ini juga menghadiahkan 5 buah piala rebutan ‘Piala Seri Utama’ yang disumbangkan oleh Mantan Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar. Para pemenang juga mendapat wang tunai dan piala iringan.

Dalam kejohanan ini juga sebanyak enam kategori acara perlumbaan bot tambang tradisi dan bidar turut dipertandingkan sebagai acara salingan dan penyampaian hadiah kemenangan disempurnakan oleh Yang Dipertua PERKEBAR, Haji Haris bin Haji Ibrahim.