Lawat DBP, dedah kebolehan pelajar membaca dan menulis

Lawat DBP, dedah kebolehan pelajar membaca dan menulis

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Lebih 50 orang pelajar bersama ibu bapa serta penjaga dan warga kerja Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam telah mengadakan lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka DBP cawangan Sengkurong, hari ini.

Lawatan yang bersempena dengan sambutan Minggu Kebolehan Membaca dan Menulis pusat berkenaan disambut bermula kelmarin (28 September) sehingga 2 Oktober 2015.

Hadir mengalu-alukan kehadiran rombongan, Ketua Unit Perpustakaan Sengkurong, Hajah Isisah binti Haji Sulaiman serta pegawai dan kakitangan perpustakaan.

Menurut kenyataan Pusat Ehsan, aktiviti antara lain bertujuan untuk menyokong kebolehan membaca dan menulis dalam kalangan pelajar melalui kepakaran yang dikongsi bersama fasilitator Perpustakaan Sengkurong.

Taklimat yang disampaikan oleh warga perpustakaan di awal majlis berkenaan.
Taklimat yang disampaikan oleh warga perpustakaan di awal majlis berkenaan.

Lawatan dimulakan dengan mendengar penerangan dan taklimat yang disampaikan oleh warga perpustakaan dan diteruskan dengan acara bercerita dan kemudiannya diikuti dengan acara mewarna dan aktiviti semakan senarai yang disampaikan oleh wakil Pra-Vokasional Pusat Ehsan.

Antara tujuan lain lawatan adalah untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan sosial di samping kemahiran dan melihat peluang dalam pembelajaran bahasa di kalangan pelajar, sekali gus meningkatkan minat mereka kepada amalan membaca.

Aktiviti berkenaan turut dijayakan bersama sukarelawan-sukarelawan dari Universiti Brunei Darussalam dan juga warga asing yang bertugas di negara ini.