Lawatan bersepadu periksa kebajikan pekerja

Lawatan bersepadu periksa kebajikan pekerja

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Buruh, baru-baru ini telah mengadakan lawatan bersepadu ke premis perniagaan di sekitar Jalan Muara.

Lawatan itu bertujuan untuk memastikan majikan menjalankan tanggungjawab mereka dalam pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja-pekerja tempatan ke Skim TAP dan SCP selain memastikan mereka mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Buruh selaras dengan Perintah Pekerjaan 2009.

Melalui lawatan ke sembilan premis perniagaan, pegawai TAP mendapati seorang majikan dan 11 pekerja tempatan masih belum didaftarkan di bawah skim TAP dan SCP, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TAP.

Pihak majikan turut didapati melakukan kesalahan di mana pekerja tempatan tidak diberikan kontrak pekerjaan, tiada pembayaran kerja lebih masa dan kelambatan dalam pembayaran gaji.

Pegawai penguat kuasa TAP dan pegawai penguat kuasa Jabatan Buruh ketika menjalani pemeriksaan ke atas majikan dan pekerjanya.
Pegawai penguat kuasa TAP dan pegawai penguat kuasa Jabatan Buruh ketika menjalani pemeriksaan ke atas majikan dan pekerjanya.

TAP dalam kenyataannya turut mengingatkan majikan mengenai tanggungjawab mereka untuk mendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak ke Skim TAP dan Skim SCP.

Pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap negara ini yang mencukupi syarat wajib didaftarkan dan dicarumkan ke Skim TAP dan Skim SCP, dan ini termasuk pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari dan pekerja di dalam tempoh percubaan.

Di bawah Bab 26, Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak kurang $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.