Lawatan IBTE ke tapak pembinaan Sekolah Menengah Arab

Lawatan IBTE ke tapak pembinaan Sekolah Menengah Arab

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Sebagai pendedahan kepada para pelajar, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Nakhoda Ragam, hari ini, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke tapak pembinaan Sekolah Menengah Arab, Kampung Katok.

Lawatan yang dibahagikan kepada dua sesi itu dihadiri oleh 32 orang pelajar dan lapan orang kakitangan bagi sesi pagi dan seramai 34 orang pelajar dan lapan orang kakitangan turut serta dalam lawatan sesi petang.

Rombongan IBTE Kampus Nakhoda Ragam tersebut terdiri daripada pelajar kursus Sijil Pendidikan Teknikal Kebangsaan Tertinggi (HNTec) dalam Kejuruteraan Pembinaan.

Rombongan telah diberi taklimat mengenai tapak pembinaan tersebut.
Rombongan telah diberi taklimat mengenai tapak pembinaan tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, antara objektif lawatan adalah untuk memberi pendedahan dan juga ilmu pengetahuan yang berguna kepada pelajar secara berkesan dan bertepatan dengan kemahuan industri kerana ia berhubung kait secara terus dengan mata pelajaran Teknologi Pembinaan dan Teknologi Bahan-bahan.

Lawatan ke tapak pembinaan seperti ini boleh dijadikan sebagai satu cara pengajaran untuk mendedahkan para pelajar bukan sahaja dalam bidang teori dan kesedaran, malahan juga dalam praktikal dan kemahiran mereka dengan kerja-kerja pembinaan. Aktiviti luar seperti ini juga dapat memberi motivasi yang bagus, melahirkan sifat inovatif dan juga kemahiran tinggi kepada para pelajar tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA