Lawatan Jokowi ke Papua tetap diteruskan

Lawatan Jokowi ke Papua tetap diteruskan

JAKARTA, 29 Dis – Presiden Joko Widodo atau Jokowi tidak akan membatalkan rancangan melawat wilayah Papua selepas sebuah balai polis di wilayah bergolak itu diserang penyerang bersenjata, mengorbankan tiga pegawai, kata seorang pegawai kanan kerajaan, semalam.

Setiausaha Kabinet Pramono Anung, dipetik akhbar Tempo sebagai berkata, walaupun dengan insiden itu yang menjurus kepada kematian pasukan keselamatan, presiden tidak akan mengubah hasratnya untuk menyambut Tahun Baru di Papua.

Tentera Indonesia (TNI) di Papua, yang menguruskan isu keselamatan lawatan tiga hari Jokowi, menganggap bandar yang bakal dilawati Joko iaitu di Merauke, Wamena dan Raja Ampat, selamat.

“Kejadian ini (tembakan) akan dipertimbangkan namun presiden pasti dapat menanganinya dan yakin dengan penilaian keselamatan TNI,” kata Pramono.

Beliau menambah bahawa Jokowi yakin menyambut Tahun Baru di Papua membuktikan komitmen kerajaan untuk membangunkan wilayah kaya sumber itu namun agak mundur.

Dalam kejadian Ahad lalu, balai polis kecil Sinak di Daerah Puncak, Papua diserang dengan tembakan bertalu-talu pada jam 8.45 malam.

Pegawai polis yang bertugas terbunuh dan seorang lagi cedera. Beberapa penyerang kemudian memecahkan kawasan simpanan senjata, mencuri tujuh raifal dan bahan letupan. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA