Lawatan ke sekitar perusahaan tempatan

Lawatan ke sekitar perusahaan tempatan

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Dis – Seramai 40 orang Muslimah dan 35 orang ahli Jawatankuasa Takmir dan Belia Balai Ibadat Kampung Mata-mata (BIKMM), kelmarin, telah mengadakan lawatan ke beberapa buah tempat perusahaan tempatan di Daerah Brunei dan Muara.

Rombongan yang diketuai oleh Imam BIKMM, Haji Isa bin Haji Saban itu telah memulakan lawatan ke Ladang Haji Zainal di Kampung Masin di mana mereka dialu-alukan oleh Pengurus Syarikat, Haji Zainal bin Haji Safar. Di sana, rombongan diberi peluang memetik sayur-sayuran seperti betik, sayur bagu, ulam rencah-rencah, petola dan banyak lagi.

Rombongan juga mendengar taklimat mengenai jenis-jenis tanaman sayur dan buah-buahan yang bermusim dan penerangan khusus bagaimana menjaga tanaman seperti sayur dan buah-buahan.

Rombongan BIKMM bergambar ramai semasa mengadakan lawatan tersebut.
Rombongan BIKMM bergambar ramai semasa mengadakan lawatan tersebut.

Seterusnya, rombongan meneruskan lawatan ke kilang perusahaan tempatan yang terkenal dengan penghasilan makanan jenamanya tersendiri iaitu Sabli’s Food, di mana rombongan berkesempatan menyaksikan pemprosesan kopi Sabli dan pembungkusan rempah Sabli dan berpeluang membeli produk Sabli pada harga yang istimewa.

Rombongan kemudian melawat ke Perusahaan Jamu Chantek Hajah Zaleha dan Anak-anak di mana mereka dialu-alukan oleh Ketua Kampung Lambak Kiri, Haji Hamdani bin Haji Omar.

Lawatan diakhiri di Pusat Dakwah Islamiah di mana rombongan berkesempatan melawat ke galeri barang tegahan dan menyaksikan kelambu Kaabah dipamerkan.

Tujuan lawatan ini adalah bagi mempelajari kegiatan perekonomian yang ada di Daerah Brunei dan Muara di samping dapat mengetahui perkembang-an syarikat-syarikat tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA