Lawatan ke tapak pakej CC2

Lawatan ke tapak pakej CC2

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt – Rombongan Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, kelmarin, telah mengadakan lawatan kerja ke tapak Cadangan Projek Jambatan Temburong pakej CC2 yang dikendalikan oleh kontraktor Daelim–Swee JV di Kampung Serasa.

Menurut kenyataan Jabatan Buruh, hari ini, rombongan berkenaan diketuai oleh Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof dan disertai oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang dan Bahagian Kesihatan dan Keselamatan Tempat Kerja.

Dalam lawatan itu, rombongan terlebih dahulu mendengar sesi taklimat dan menyaksikan video ringkas mengenai kesihatan dan keselamatan tempat kerja, taklimat mengenai profil syarikat serta perkembangan terkini projek yang dijalankan.

Sesi lawatan diteruskan ke perumahan pekerja-pekerja yang disediakan oleh pihak kontraktor Daelim–Swee JV dan ke tapak projek yang sedang giat dijalankan.

Antara yang mengikuti lawatan tersebut.
Antara yang mengikuti lawatan tersebut.

Lawatan ini antara lain bertujuan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja diutamakan lebih-lebih lagi dalam menjalankan projek besar seperti ini dan ia adalah selaras dengan Perintah Pekerjaan 2009 dan Perintah Kesihatan dan Keselamatan Tempat Kerja 2009.

Pemangku Pesuruhjaya Buruh menekankan betapa pentingnya peranan pengurus dan penyelia pihak kontraktor Daelim–Swee JV dalam menyediakan persekitaran kerja yang selamat dengan memastikan jentera, peralatan dan kelengkapan kerja diperiksa dan dipelihara setiap masa.

Diharapkan projek ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan dapat dijadikan ikutan oleh syarikat-syarikat pembinaan yang ada di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA