Lawatan kenali Daerah Tutong

Lawatan kenali Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 4 Okt – Seramai 25 orang terdiri daripada 20 orang penuntut dan lima orang tenaga pengajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Sekolah Informasi dan Perhubungan dan ITE Kolej West, Singapura baru-baru ini membuat lawatan di beberapa buah tempat di Daerah Tutong.

Mengetuai rombongan lawatan ialah Dayang Rahmah binti Abdullah dari IBTE dan Dr. Norashid bin Darni dari ITE Kolej West, Singapura.

Lawatan tersebut merupakan salah satu aktiviti dalam lawatan dua minggu penuntut berkenaan ke Negara Brunei Darussalam yang bertujuannya menimba ilmu pengetahuan mengenai kebudayaan, adat resam, istiadat dan kehidupan orang-orang Tutong.

Lawatan mereka bermula dengan kunjungan ke Gerai Muafakat Kampung Kiudang bagi menyaksikan demonstrasi kraf tangan. Kedatangan rombongan telah dialu-alukan oleh Ketua Kampung Kiudang, Awang Haji Mohamad Saiful bin Abdullah Anja bersama ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Kiudang, Tutong.

Turut hadir mengalu-alukan kehadiran rombongan ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali serta kakitangan Jabatan Daerah Tutong.

Rombongan bergambar ramai di depan rumah Galeri Ariffin.
Rombongan bergambar ramai di depan rumah Galeri Ariffin.
Rombongan mendengar taklimat mengenai fungsi dan peranan Jabatan Daerah Tutong.
Rombongan mendengar taklimat mengenai fungsi dan peranan Jabatan Daerah Tutong.

Rombongan seterusnya dibawa melawat ke Galeri Ariffin yang juga dikenali sebagai Galeri Kebudayaan, Kesenian dan Kemasyarakatan dimana terdapat pameran koleksi-koleksi peribadi dalam bentuk kebudayaan, kesenian dan kemasyarakatan serta demonstrasi gendang dan muzik tradisi.

Rombongan juga berkesempatan melawat ke Pengusaha Produk Teh Herba 3 MPK di Kampung Kiudang bagi menyaksikan lebih dekat mengenai produk Teh Herba 3 MPK yang diperbuat daripada daun Sambah Bagangan yang diproses menjadi teh herba. Rombongan lawatan juga berkesempatan menyaksikan cara-cara membuat bungkusan teh herba sebelum dipasarkan.

Seterusnya, rombongan melawat ke Tasbee Meliponiculture Farm di Kampung Sungai Kelugos, Tutong yang mengusahakan produk madu kelulut. Rombongan berpeluang mempelajari cara-cara menuai madu kelulut malah turut merasai minuman detoks yang diperbuat daripada campuran buah dan madu asli.

Lawatan berakhir di Pejabat Daerah Tutong di mana mereka berpeluang melawat Galeri Kampung yang dikenali sebagai Galeri Satu Kampung Satu Produk Daerah Tutong dan seterusnya mendengar penerangan ringkas mengenai fungsi dan peranan Jabatan Daerah Tutong yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Kerja Tingkat ll, Jabatan Daerah Tutong, Dayang Alia Nurzahra binti Abdullah Api.

ARTIKEL YANG SAMA