Lawatan kenali Daerah Tutong

Lawatan kenali Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 25 Sept – Seramai 60 orang peserta Program Bahasa Inggeris 11 Minggu bersama lima orang pengiring, kelmarin, telah mengadakan lawatan sehari ke Daerah Tutong sebagai salah satu aktiviti di bawah Projek Pengayaan Bahasa Inggeris Brunei-Amerika Syarikat (AS) bagi ASEAN yang dikendalikan oleh Universiti Brunei Darussalam.

Rombongan terdiri daripada para pegawai diplomatik, guru dan pensyarah Bahasa Inggeris dari lima buah negara ASEAN.

Tujuan lawatan adalah untuk mengenali dengan lebih dekat akan perkembangan dan kemajuan Daerah Tutong termasuk hal ehwal pengurusan dan pentadbiran, keagamaan, kebudayaan, kebajikan dan perekonomian masyarakat Daerah Tutong.

Ketibaan rombongan di Pejabat Daerah Tutong telah dialu-alukan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas, Dayang Siti Joriahati binti Johari selaku Ketua Bahagian Korporat Jabatan Daerah Tutong dan Ketua Pegawai Eksekutif Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong (BPPPDT), Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali.

Lawatan dimulakan dengan penerangan ringkas mengenai fungsi dan peranan Jabatan Daerah Tutong, ‘Membangun Bersama Masyarakat’.

Rombongan berkesempatan menyaksikan demonstrasi tulisan kaligrafi masyarakat Tiong Hua.
Rombongan berkesempatan menyaksikan demonstrasi tulisan kaligrafi masyarakat Tiong Hua.

Setelah itu, rombongan dibawa ke Galeri Satu Kampung Satu Produk (1K1P) Daerah Tutong dengan penerangan ringkas mengenai sejarah penubuhan, fungsi dan peranan Galeri 1K1P tersebut.

Rombongan turut berkesempatan menyaksikan lebih dekat lagi produk kampung yang dihasilkan oleh ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Tutong, seterusnya, menyaksikan demonstrasi penulisan jawi dan persembahan tausyeh oleh Badan Kebajikan Saudara Baru Kiudang Mungkom (BASKIM) yang merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan di daerah ini.

Lawatan seterusnya ialah ke Rumah Warisan Etnik Daerah Tutong di Taman Rekreasi Sungai Basong, di mana rombongan mendengar penerangan dan menyaksikan pameran rumah-rumah tradisi lima etnik iaitu Puak Tutong, Puak Kedayan, Puak Dusun, Masyarakat Iban dan Masyarakat Tiong Hua.

Rombongan juga berpeluang ikut serta dalam beberapa aktiviti yang disediakan seperti pertunjukan pembuatan makanan tradisi, tulisan kaligrafi, permainan etnik dan tarian tradisional daripada setiap puak dan masyarakat.

Setelah itu, rombongan dibawa melawat ke perusahaan madu kelulut iaitu Tasbee Meliponiculture di Kampung Sungai Kelugos yang diusahakan oleh Awang Mitasby bin Haji Mamit.

Rombongan diberi penerangan ringkas mengenai produk madu kelulut yang dihasilkan sebelum dibawa melawat ke taman lebah kelulut dan menyaksikan cara-cara menuai madu serta demonstrasi membuat minuman detoks daripada buah dan madu.

Destinasi terakhir lawatan ialah Perusahaan Cahaya Gaharu di Kampung Bukit Panggal yang diusahakan oleh Haji Ayub.

Setelah mendengar taklimat ringkas, rombongan melawat ke tempat pemprosesan minyak gaharu dan menyaksikan pameran serta jualan produk gaharu khususnya minyak harum gaharu.

ARTIKEL YANG SAMA