Lawatan kerja BAB ke Thailand

Lawatan kerja BAB ke Thailand

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Delegasi Persatuan Bank-bank Brunei (BAB) baru-baru ini, telah mengadakan lawatan kerja ke Thailand bagi berkongsi amalan terbaik daripada kedua-dua entiti serta mempromosi peluang pelaburan di Brunei berdasarkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Pada lawatan kerja itu, delegasi BAB telah bertemu dengan rakan industri iaitu Persatuan Jurubank Thai serta bank pusat Thai, Bank Thailand (BOT) yang bertujuan sebagai sebahagian daripada pelan strategik BAB yang lebih luas untuk mempertingkat sektor kewangan Brunei.

Di Bank Thailand, wakil BAB dihoskan oleh Pengarah Kanan Institusi Strategi Kewangan, Don Nakornthab.

Manakala, Persatuan Jurubank Thai (TBA) dipimpin oleh Pengerusi, Boontuck Wungxharoen yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Tentera Thai, dan dihadiri oleh CEO dan wakil kanan daripada kesemua 15 bank anggota TBA.

Pada pertemuan itu, pengarah-pengarah Bank Thailand telah menyampaikan pembentangan bagi sesi pagi mengenai fasa ketiga Pelan Induk Sektor Kewangan mereka iaitu untuk mempromosi pertumbuhan terangkum menerusi rangka kerja dasar yang meliputi proses mendigitalkan dan kecekapan, pemewilayahan, kemudahan dan perubahan, dan topik Inisiatif Perbankan ke arah Persepaduan Kewangan ASEAN dan Peranan serta Persediaan Bank Pusat dan Bank Komersial mengenai Bayaran/Penyelesaian Serantau.

Rino Donosepoetro ketika menyampaikan cenderahati kepada Don Nakornthab.
Rino Donosepoetro ketika menyampaikan cenderahati kepada Don Nakornthab.

Sesi pertama itu turut memperkenalkan prestasi ekonomi Thailand dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk tahun 2015 diramalkan bertumbuh pada 2.7 peratus dan 3.5 peratus untuk 2016. TBA turut menekankan bahawa pengeluaran, harta tanah dan kesihatan adalah sektor industri yang telah melihat pertumbuhan dan perkembangan pada suku ketiga tahun ini.

Sementara itu, pada sesi petang, delegasi BAB telah menyentuh mengenai peluang pelaburan di Brunei dan menggalak aktiviti perniagaan antara sempadan.

Pengerusi BAB dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Standard Chartered, Rino Donosepoetro berkata, “Tahap kerjasama dalam perumusan wawasan strategik untuk industri perbankan yang kami lihat di antara rakan kami, Persatuan Jurubank Thai, dan bank pusat, Bank Thailand, adalah sesuatu yang diharapkan dapat dicontohi oleh kami. Adalah jelas daripada perbincangan kami bahawa agenda digital adalah amat penting untuk bank pusat dan industri perbankan di Thailand, sesuatu yang mempunyai persamaan dengan Brunei. Selepas skala ekonomi dan skop ekonomi, kini sudah tiba masanya untuk kepesatan ekonomi dengan proses digital.”

Beliau juga menambah Bank Thailand memaparkan kepelbagaian dalam landskap perbankan Thai dan mereka akan mengalu-alukan mana-mana bank Brunei yang berminat untuk melabur di Thailand.

Lawatan kerja delegasi BAB berakhir dengan wawasan tentang bagaimana industri perbankan harus memenuhi Komuniti Ekonomi ASEAN dan cara-cara persatuan itu boleh mempertingkat peranan mereka dalam melancarkan perkembangan ekonomi dengan kerjasama erat bersama Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).

ARTIKEL YANG SAMA