Lawatan kerja TPM ke Beijing bawa hasil

Lawatan kerja TPM ke Beijing bawa hasil

BEIJING, 4 Feb – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berlepas pulang ke Kuala Lumpur tengah hari tadi selepas menamatkan lawatan kerja empat hari, di sini.

Lawatan pertama beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri ke negara Tembok Besar itu bagi membincangkan cadangan Malaysia mengenai pelaksanaan sistem visa elektronik (e-visa) dan program pengecualian pembayaran visa untuk rakyat China.

Perbincangan bersama Setiausaha Pusat Politik dan Hal Ehwal Undang-Undang Parti Komunis China, Meng Jiangzhu dan Menteri Keselamatan Awam, Gou Shengkun, itu membuahkan hasil positif apabila pihak China menerima baik cadangan itu.

Cadangan Malaysia diterima baik pihak China berikutan keakraban hubungan antara kedua-dua negara, serta persahabatan antara Ahmad Zahid dan rakan sejawatannya Guo dan juga Meng.

Kata sepakat dicapai apabila surat rasmi ditandatangani antara kedua-dua negara dan ia diserahkan kepada Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya.

Persetujuan pihak China itu penting berikutan usaha kerajaan Malaysia untuk menarik lapan juta pelancong dari China setahun untuk lima tahun akan datang dengan kuasa berbelanja sebanyak RM22.1 bilion, berbanding 1.3 juta pelancong setahun sebelum ini.

Usaha itu penting supaya Malaysia tidak terlepas peluang dalam menarik lebih 100 juta rakyat China melawat luar negara, sekali gus mampu menjana ekonomi negara.

Berikutan itu, kerajaan melalui Jabatan Imigresen mencari jalan bagi memudahkan kehadiran pelancong China dengan langkah terbaru menerusi pengecualian visa untuk lawatan tidak melebihi 15 hari yang diuruskan agensi pelancongan.

Namun di sebalik usaha itu, kerajaan kedua-dua negara turut mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan isu keselamatan diutamakan dan tidak dikompromi walaupun langkah yang lebih liberal dalam soal visa.

Berikutan itu, pihak berkuasa China khususnya polis dan Imigresen akan berkongsi maklumat serta menyediakan senarai suspek penjenayah dan biometrik serta rekod cap jari.

Selain itu, pemimpin kedua-dua negara juga membincangkan usaha bersama dalam membanteras kegiatan militan, extremisme dan radikalisme untuk menangani aktiviti keganasan.

Mereka juga bersetuju meneruskan pertukaran maklumat risikan serta berkongsi maklumat berkaitan dan melibatkan pengganas dengan penekanan terhadap program membina keupayaan dan latihan.

Ini termasuk meletakkan pegawai masing-masing di agensi penguatkuasaan termasuk polis di antara kedua-dua negara untuk latihan dan peminjaman.

Turut dimaklumkan, Malaysia akan menganjurkan mesyuarat dwitahunan Jawatankuasa Kerja Bersama di Langkawi, Ogos ini dan perkara asas kepada mesyuarat ini ialah isu mengenai jenayah rentas sempadan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA