Lawatan Kerry ke Malaysia pamer minat Amerika terhadap Asia Tenggara

Lawatan Kerry ke Malaysia pamer minat Amerika terhadap Asia Tenggara

NEW YORK, 29 Julai (Bernama) – Lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry ke Malaysia pada minggu pertama Ogos ini untuk mengambil bahagian dalam Forum Rantau ASEAN (ARF), mempamerkan minat Amerika terhadap Asia Tenggara dan seluruh rantau Asia Pasifik yang merupakan tunjang Asia.

Menjelaskan implikasi perjanjian nuklear Iran baru-baru ini dalam perbincangan Jumaat lepas pada Majlis Hubungan Luar di sini, Setiausaha Negara itu menjawab soalan berhubung pencapaian Amerika dalam perjanjian nuklear itu dan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), mengambil perhatian dua isu itu “amat, amat penting” bagi pentadbiran, dan “kami bekerja keras bagi TPP.

“TPP adalah kritikal dan untuk pengimbangan semula terhadap Asia, yang kami beri tumpuan.

“Maksud saya, saya telah membuat beberapa lawatan ke rantau itu, dan Tony Blinken (Antony John ‘Tony’ Blinken, Timbalan Setiausaha Negara Amerika dan bekas Timbalan Penasihat Keselamatan Negara kepada Presiden Barack Obama) turut mengikuti perkembangan itu.

“Saya akan ke Asia (Kuala Lumpur) minggu depan, sebenarnya bagi mesyuarat ASEAN dan yang berkaitan.”

Sebelum tiba di Malaysia bagi lawatan tiga hari bermula 4 Ogos, Kerry akan singgah di Singapura dengan beliau dijadual bertemu dengan kalangan pemimpin dan pegawai kanan Singapura untuk membincangkan isu dua hala dan serantau, tatkala negara pulau itu menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan.

Beliau akan menyampaikan ucapan tentang pentingnya perdagangan dan pelaburan Amerika untuk mencapai kemakmuran di rantau Asia Timur dan Amerika.

Selepas itu, Kerry akan menghadiri ARF di Kuala Lumpur dengan beliau akan menyertai empat mesyuarat pelbagai hala termasuk Inisiatif Hulu Mekong, Sidang Kemuncak Asia Timur Amerika Syarikat-ASEAN dan mesyuarat Menteri Luar Rantau ASEAN.

Pada 6 Ogos beliau akan ke Hanoi untuk membincangkan isu dua hala dan serantau dengan pemimpin Vietnam, dan menghadiri majlis ulang tahun ke-20 hubungan diplomatik Amerika Syarikat-Vietnam.

Antara isu penting dijangka dibangkitkan di Kuala Lumpur adalah TPP.

Beliau berkata: “Amerika Syarikat sedang berusaha ke arah itu kerana ia mewakili 40 peratus KDNK global.

“Dan sekiranya peraturan-peraturan diterima mengikut standard yang kami tetapkan dalam TPP, kami meningkatkan standard perniagaan antarabangsa…”

Pemerhati diplomatik yang arif tentang Asia menyatakan Kerry akan menggunakan lawatannya ke Asia Tenggara untuk berbincang dengan anggota penting ASEAN, termasuk Malaysia, berhubung pelbagai isu di samping TPP, termasuk Laut China Selatan, Komuniti Ekonomi ASEAN dan beberapa isu dua hala.