Lawatan mengejut Baginda Sultan

Lawatan mengejut Baginda Sultan

Oleh Sim Y.H.

Gambar oleh Muiz Matdani dan Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa mengambil perhatian berat terhadap kesejahteraan, keselesaan dan keperluan masyarakat khususnya bagi memastikan kemudahan awam yang disediakan memenuhi ke-perluan para pengguna dan pada masa yang sama menepati standard yang telah ditetapkan dari segi kesejahteraan, keselamatan dan sekuriti.

Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bukan sahaja dihasratkan untuk menjadi mercu tanda bagi Negara Brunei Darussalam di mana pelancong dari luar negara akan dapat mengenali budaya dan keunikan negara apabila mereka melangkah ke dalam lapangan terbang itu nanti, tetapi ia juga dihasratkan menjadi pintu masuk menuju ke dalam suasana unik Brunei di mana mereka akan berpeluang untuk menikmati suasana yang indah, perkhidmatan efisien serta kemudahan-kemudahan terkini bagi memenuhi segala keperluan mereka.

Sehubungan itu, Baginda Sultan, hari ini, berkenan mengadakan lawatan mengejut ke LTAB bagi meninjau kemudahan yang disediakan di lapangan terbang berkenaan yang telah melalui proses pemodenan pada November 2011.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah selaku Pengerusi Penerbangan Diraja Brunei (RB), pegawai-pegawai kanan Kementerian Perhubungan, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan RB.

Baginda Sultan berkenan memulakan lawatan dan tinjauan ke Surau LTAB di mana Baginda berkenan menunaikan solat sunat.

Baginda Sultan berkenan memasuki kokpit sebuah pesawat yang dikendalikan juruterbang wanita pertama Brunei RB, Dayang Sharifah Czarena Surainy Syed Hashim.
Baginda Sultan berkenan memasuki kokpit sebuah pesawat yang dikendalikan juruterbang wanita pertama Brunei RB, Dayang Sharifah Czarena Surainy Syed Hashim.
Baginda Sultan berkenan menunaikan solat sunat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Baginda Sultan berkenan menunaikan solat sunat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Baginda Sultan berkenan melihat lebih dekat ruang dalam pesawat 787 Dreamliner.
Baginda Sultan berkenan melihat lebih dekat ruang dalam pesawat 787 Dreamliner.

pg04_150918_c

Baginda Sultan berkenan berada di kokpit untuk menerbangkan pesawat Royal Brunei.
Baginda Sultan berkenan berada di kokpit untuk menerbangkan pesawat Royal Brunei.
Baginda Sultan berkenan berangkat ke petak jualan Nolly Book di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Baginda Sultan berkenan berangkat ke petak jualan Nolly Book di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

pg04_150918_f

Baginda Sultan berkenan melawat bahagian pengurusan Penerbangan Diraja Brunei.
Baginda Sultan berkenan melawat bahagian pengurusan Penerbangan Diraja Brunei.
Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama para kakitangan Penerbangan Air Asia.
Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama para kakitangan Penerbangan Air Asia.

Pembinaan surau berkenaan bermula pada Januari 2014 dan siap pada awal 2015 di mana surau itu boleh menampung kira-kira 300 jemaah pada satu-satu masa.

Baginda kemudian berkenan berangkat untuk membuat tinjauan ke Dewan Berlepas dan melihat dengan lebih dekat kemudahan yang disediakan serta kedai-kedai yang terdapat di situ.

Semasa lawatan dan tinjauan berkenaan, Baginda diberikan sembah penerangan oleh Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Abdullah dan juga Pemangku Pengarah Penerbangan Awam, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

Baginda seterusnya berkenan mengadakan tinjauan ke kaunter imigresen lapangan terbang dan menyaksikan dengan lebih dekat sistem pemeriksaan yang dikendalikan di bahagian berkenaan sebelum meneruskan lawatan ke kawasan kru kabin bagi penerbangan RB yang sedang dalam proses pengubahsuaian.

Baginda kemudian berkenan berangkat ke Ruang Berlepas dan menaiki Pesawat Dreamliner RB di mana Baginda diberikan sembah penerangan mengenai kemudahan dalam pesawat itu oleh Timbalan Pengerusi RB, Dermot Mannion.

Baginda juga berkenan beramah mesra dengan juruterbang wanita pertama RB, Kapten Sharifah Czarena Suriany Syed Hashim.

Menurut Kapten Czarena, beliau amat berbesar hati dan menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan kerana berpeluang untuk berada di ruang penerbangan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Baginda berkenan menaiki penerbangan pesawat Dreamliner kira-kira 40 minit.

Baginda Sultan kemudiannya berkenan meneruskan lawatan dengan meninjau ke Dewan Ketibaan serta berkenan menerima sembah taklimat mengenai proses dan kawasan pemeriksaan bagasi oleh kakitangan polis dan kastam yang bertugas.

Yang Berhormat Pehin dalam temu bual ringkas bersama pihak media selepas lawatan Baginda, berkata bahawa pihaknya mengambil berat mengenai saranan Baginda semasa lawatan berkenaan dan berkata usaha terus dilaksanakan oleh semua pihak yang berkenaan bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan sekuriti penumpang diberikan keutamaan.

Beliau yakin bahawa semua pihak yang berkenaan akan bekerjasama di antara satu sama yang lain bagi menangani perkara-perkara yang diketengahkan.

Sementara itu, Dermot Mannion ketika mengulas mengenai pandangan Baginda Sultan mengenai pesawat RB baru 787 Dreamliner, menyatakan bahawa amat berbesar hati dan menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda yang berkenan menaiki dan terbang di atas pesawat itu.

Beliau berkata bahawa maklum balas daripada para penumpang mengenai pesawat itu amat menggalakkan dan positif yang mana bukan sahaja pesawat itu mendapat pujian tetapi juga tugas yang dijalankan oleh Kru Kabin RB.

Beliau yakin bahawa semua itu menyumbang kepada penyediaan produk yang amat baik bagi syarikat penerbangan berkenaan serta menjadikan RB sebagai satu produk yang boleh menjadi kebanggaan masyarakat Brunei.

Projek pemodenan lapangan terbang itu dihasratkan untuk meningkatkan taraf, kemudahan dan perkhidmatan yang diberikan bagi kemudahan orang ramai serta penumpang-penumpang.

Rekaan LTAB yang baru juga meningkatkan kapasiti lapangan terbang daripada 1.5 juta penumpang setahun kepada 3 juta setahun.

Ia juga dipercayai mampu untuk meningkatkan keupayaan dan usaha negara untuk menjadikan Brunei sebagai pusat logistik udara yang kompetitif di rantau Asia Tenggara, meningkatkan kesalinghubungan lapangan terbang, meningkatkan jumlah penumpang dan penerbangan yang akan menyumbang kepada pertumbuhan sektor-sektor seperti pelancongan, perdagangan dan pelaburan.