Lawatan Naib Presiden India dibatalkan

Lawatan Naib Presiden India dibatalkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Lawatan rasmi Naib Presiden India, Tuan Yang Terutama Mohammad Hamid Ansari ke Brunei telah dibatalkan berikutan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali selepas Gunung Berapi Rinjani berhampiran Pulau Lombok memuntahkan abu.

Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan India memohon kesudian kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menerima kunjungan Tuan Yang Terutama Naib Presiden pada masa depan serta merakam penghargaan dan ucapan terima kasih kerana membantu mengurus dan memberi kerjasama rapat dalam perkara ini. Tuan Yang Terutama Mohammad Hamid Ansari dijadual memulakan lawatan rasmi ke negara ini kelmarin (4 Nov).