Lawatan sambil belajar ke BMC

Lawatan sambil belajar ke BMC

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 27 Ogos – Rombongan lebih 20 pelajar Sekolah Tinggi Meguro Gakuin bersama tiga orang guru pengiring, hari ini, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Syarikat Brunei Methanol Sdn Bhd (BMC), di sini.

Lawatan rombongan tersebut yang disertai sama oleh beberapa orang kakitangan agensi pelancongan Freme Travel itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun melalui lawatan ke syarikat-syarikat Jepun yang beroperasi di negara ini.

Ketibaan rombongan ke syarikat tersebut di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) telah dialu-alukan oleh Penolong Ketua Pegawai Eksekutif BMC, Awang Daud bin Haji jais serta pegawai-pegawai pengurusan eksekutif syarikat itu.

Semasa lawatan itu, rombongan telah berpeluang menyaksikan klip video mengenai perkembangan syarikat, seterusnya mendengar taklimat mengenai korporat dan teknikal yang disampaikan oleh Pegawai Eksekutif BMC, Takatoshi Shida dan daripada Syarikat Mutsibishi Gas Chemical, Makoto Ito merangkap Penasihat Kanan Shift Loji BMC.

Selain itu, para pelajar diberikan peluang untuk bertanyakan soalan bagi perkara yang ingin mereka ketahui melalui sesi soal jawab.

Rombongan mahasiswa dan mahasiswi peserta Program Perkampungan Sivik dalam lawatan ke Syarikat Brunei Methanol Sdn Bhd.
Rombongan mahasiswa dan mahasiswi peserta Program Perkampungan Sivik dalam lawatan ke Syarikat Brunei Methanol Sdn Bhd.
Gambar ramai Pelajar Sekolah Tinggi Meguro Gakuin semasa melawat Syarikat Brunei Methanol Sdn Bhd di Sungai Liang.
Gambar ramai Pelajar Sekolah Tinggi Meguro Gakuin semasa melawat Syarikat Brunei Methanol Sdn Bhd di Sungai Liang.

Sebelum meninggalkan syarikat itu, rombongan juga telah dibawa melawat luar kawasan loji BMC dengan diiringi bersama oleh Makoto Ito.

Dalam pada itu, secara berasingan, BMC juga telah menerima lawatan daripada seramai 39 mahasiswa-mahasiswi yang menyertai Progam Perkampungan Sivik bersama beberapa orang pegawai dari Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, yang juga dialu-alukan oleh Awang Daud.

Mahasiswa-mahasiswi tersebut merupakan mereka yang belajar di luar negara dan juga di institusi pengajian dalam negara seperti Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) serta Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Ia merupakan salah satu daripada program yang telah diaturkan, yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan berkongsi pandangan mengenai program yang berkaitan dengan teknikal dan kejuruteaan di negara ini.

Para pelawat juga telah berpeluang mendengarkan pembentangan kertas kerja mengenai profil syarikat dan bagaimana proses metanol dilakukan yang telah disampaikan oleh Pegawai Perhubungan BMC, Adriana Agus Din, dan Pelatih Operasi Latihan BMC, Awang Asmawi bin Haji Mohammad, sebelum sesi soal jawab diadakan bagi para pelajar berkenaan.

Sejurus sebelum lawatan berakhir, rombongan juga telah dibawa melawat kawasan luar loji BMC diiringi bersama oleh jurutera-jurutera operasi BMC, Awang Mohammad Izzuddin bin Haji Ibrahim, Dayang Fatin Nadiah binti Haji Mohd Jamil dan Awang Ahmad Nizam bin Muhaimin.

ARTIKEL YANG SAMA