Lawatan sambil belajar ke Daerah Temburong

Lawatan sambil belajar ke Daerah Temburong

Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain

 

TEMBURONG, 30 Mac – Rombongan seramai 54 orang murid dan guru dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB), berpeluang mendapatkan pengalaman menarik dalam lawatan sambil belajar selama tiga hari ke Daerah Temburong.

Rombongan yang diketuai oleh Pemangku Guru Besar SR YSHHB, Awang Alimas bin Haji Mohd Ali itu memulakan rangka lawatan ke ladang haiwan ternakan milik Haji Saidil bin Haji Muslim di Kampung Negalang.

Di sana, para pelajar dan guru-guru berpeluang menyaksikan demonstrasi pengawetan telur itik menjadi telur masin dan seterusnya menyaksikan koleksi ayam, itik dan beberapa jenis haiwan ternakan lain.

Tamu Muhibah Pekan Bangar, Kawasan Riadah dan Memancing Kampung Belais dan Buda-Buda, Kampung Batang Duri, Taman Rekreasi Hutan Bukit Patoi antara tempat menarik yang turut dikunjungi, di samping meninjau tapak kawasan projek Jambatan Temburong-BSB yang terletak di Mukim Labu.

Pemangku guru besar dan guru SR YSHHB dalam sesi gambar ramai di studio rancangan Rampai Pagi TV, Daerah Temburong.
Pemangku guru besar dan guru SR YSHHB dalam sesi gambar ramai di studio rancangan Rampai Pagi TV, Daerah Temburong.
Rombongan meninjau kawasan ternakan itik di ladang haiwan ternakan milik Haji Saidil di Kampung Negalang.
Rombongan meninjau kawasan ternakan itik di ladang haiwan ternakan milik Haji Saidil di Kampung Negalang.

Rombongan turut melawat pondok Satu Kampung Satu Produk (1K1P) Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rataie yang memproses makanan kering dan pondok pemprosesan Ambulong MPK Batu Apoi, di samping mengikuti aktiviti kerohanian solat berjemaah di Masjid Utama Mohammad Salleh Pekan Bangar serta beberapa aktiviti riadah luar.

Lawatan diakhiri dengan kunjungan ke Stesen RTB Daerah Temburong untuk melihat suasana kerja dan berkesempatan untuk tampil dalam rancangan Lintas Langsung Rampai Pagi TV Dari Daerah Temburong yang disiarkan secara langsung dari daerah ini.

Awang Alimas menjelaskan, pihak sekolah berharap dengan adanya lawatan sambil belajar ke daerah ini, akan memberikan pengalaman menarik dan mengajar para murid berdikari, mengamalkan sikap setia kawan dalam berkumpulan serta mengamalkan aktiviti melancong di negara sendiri pada musim cuti persekolahan seperti ini.

Kunjungan ini merupakan kali ketiga ia diadakan dan akan dijadikan aktiviti tahunan Sekolah Rendah YSHHB.

ARTIKEL YANG SAMA