Lawatan sambil belajar ke Daerah Tutong

Lawatan sambil belajar ke Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 24 Mac – Seramai 23 orang yang terdiri daripada pensyarah dan penuntut di bawah Badan Bahasa dan Sastera, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) telah membuat lawatan ke Daerah Tutong, pagi tadi.

Rombongan lawatan diketuai oleh Guru Pengawas Badan Bahasa dan Sastera, Maktab Duli, Hajah Siti Afsah binti Haji Matassan.

Ketibaan rombongan ke Pejabat Daerah Tutong telah dialu-alukan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas, Dayang Siti Joriahati binti Johari selaku Ketua Bahagian Korporat Jabatan Daerah Tutong dan para kakitangan bahagian itu serta ahli Lembaga Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong.

Lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai fungsi dan peranan Jabatan Daerah Tutong berkonsepkan ‘Membangun Bersama Masyarakat’ dan seterusnya melawat ke Galeri Satu Kampung Satu Produk Daerah Tutong.

Rombongan juga dibawa melawat ke Pasar Tamu Tutong, Serambangun yang beroperasi setiap Khamis di mana mereka dapat menyaksikan lebih dekat suasana pasar tamu yang cukup popular dalam kalangan rakyat dan penduduk di negara ini.

Gambar ramai ahli rombongan dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.
Gambar ramai ahli rombongan dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

Rombongan Maktab Duli seterusnya dibawa melawat ke Taman Rekreasi Sungai Basong bagi mengetahui suasana taman, kemudahan-kemudahan yang terdapat di sana, taman herba dan rumah-rumah lima etnik atau masyarakat Daerah Tutong yang mempunyai keunikan warisan dan budaya yang tersendiri.

Lawatan ini bertujuan untuk memberikan peluang dan pendedahan kepada para penuntut mengetahui fungsi dan peranan Jabatan Daerah Tutong, mengenali warisan budaya etnik Tutong, sekali gus berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman kepada para penuntut mengenai suasana tempat atau lokasi lawatan serta melihat pameran-pameran yang terdapat di lokasi-lokasi lawatan tersebut.

Selain itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pensyarah dan penuntut dengan pihak Jabatan Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA