Lawatan sambil belajar ke KBSentral

Lawatan sambil belajar ke KBSentral

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 28 April – Lebih 60 orang murid Pra Sekolah Rendah Sungai Tali Lumut telah mengadakan lawatan sambil belajar ke bangunan Pusat Beli-Belah KBSentral di sini, hari ini.

Rombongan murid telah disertai sama oleh empat orang guru dan turut melibatkan penyertaan kira-kira 20 orang ibu bapa murid-murid berkenaan.

Mengetuai rombongan ialah guru pra sekolah, Dayang Aniza binti Haji Taip yang memberitahu Media Permata bahawa lawatan tersebut merupakan salah satu projek aktiviti pembelajaran di luar sekolah bagi murid-murid pra sekolah mereka.

Ia antara lain bertujuan untuk mendedahkan murid-murid berkenaan dengan suasana pusat membeli-belah dan pengalaman serta pengetahuan keadaan semasa di luar sekolah sambil melakukan aktiviti yang mengajak murid-murid untuk menjelajahi suasana membeli-belah di kawasan pusat pasar raya.

Para murid bersama ibu bapa dan guru semasa lawatan ke KBSentral.
Para murid bersama ibu bapa dan guru semasa lawatan ke KBSentral.

Semasa lawatan, murid-murid ditemani oleh ibu bapa dan guru mereka, telah diberikan peluang menyertai aktiviti membeli-belah di Pasar raya Hypermart, dengan disediakan gambar-gambar barangan yang diperlukan untuk didapatkan.

Menurut Dayang Aniza, aktiviti tersebut turut dihasratkan untuk memberikan pengetahuan dan pengalaman kepada murid-murid yang majoritinya berusia enam tahun, bahawa pergi ke pasar raya bertujuan untuk mendapatkan barangan tertentu, dan ia juga selaras dengan tema pembelajaran mereka pada masa ini di sekolah mengenai makanan dan minuman.

“Murid-murid sentiasa didedahkan dengan pengetahuan pentingnya pengambilan makanan dan minuman yang memberikan khasiat untuk kesihatan dan kecergasan otak mereka, dan dengan adanya aktiviti menjelajahi pasar raya sambil ditemani ibu bapa, murid-murid berpeluang mengenali sendiri barangan yang ditentukan untuk mereka ambil daripada rak jualan,” katanya.

Di samping aktiviti membeli-belah, murid-murid juga telah dihiburkan dengan berbagai-bagai aktiviti menyeronokkan yang disediakan oleh pihak KBSentral, antaranya peraduan mewarna dan melawat kedai-kedai yang terdapat di tingkat bawah dan atas bangunan tersebut.

Malah mereka turut dihiburkan dengan kemunculan maskot kegemaran mereka seperti Doraemon dan Minion di mana mereka berpeluang sambil sempat beramah mesra dan merakamkan gambar bersama maskot-maskot berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA