Lawatan sambil belajar Sekolah Menengah Rimba II ke Singapura

Lawatan sambil belajar Sekolah Menengah Rimba II ke Singapura

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Bagi meningkatkan celik huruf dalam kalangan pelajar dan meneroka proses pembelajaran di Sekolah Menengah Bandar Clementi Singapura, Sekolah Menengah Rimba II telah mengadakan Program Berkembar bersama Sekolah Menengah Bandar Clementi bermula hari ini hingga 27 Mei ini.

Seramai 12 pelajar Tahun 9 sekolah berkenaan menyertai program tersebut. Manakala tiga orang guru mengiringi rombongan iaitu Pegawai Eksekutif Pentadbiran, Dayangku Noorsharinah binti Pengiran Samli, Pegawai Urusan Pentadbiran, Haji Hairol Azaman bin Haji Pungut, dan Pegawai Urusan Literasi dan Numerasi, Adrina Haji Mohd Agus Din.

Antara aktiviti yang akan dijalankan seperti memahami pembelajaran dan suasana di Sekolah Menengah Bandar Clementi, menulis jurnal pergembaraan, melakukan persembahan dan bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Menurut kenyataan dari Sekolah Menengah Rimba II Program Berkembar bersama Sekolah Menengah Bandar Clementi telah bermula pada tahun 2013 dan lawatan kali ini adalah lawatan kedua perwakilan dalam lawatan sambil belajar itu. Program berkembar itu bertujuan bagi merealisasikan misi Sekolah Menengah Rimba II untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang menarik melalui pendekatan kolaboratif dan bersepadu untuk membentuk rakyat yang cemerlang.

Gambar ramai rombongan dari Sekolah Menengah Rimba II.
Gambar ramai rombongan dari Sekolah Menengah Rimba II.

Sekolah Menengah Rimba II juga berharap agar dapat mempelajari dan melaksanakan amalan terbaik dalam literasi pelajar seperti program membaca dan bertutur dalam Bahasa Inggeris, serta meningkatkan strategi pengajaran yang inovatif dan menggunakan peluang yang diperolehi untuk dipraktikan di ruang kelas mahupun dalam ruang pembacaan.

Program Berkembar tersebut adalah hasil daripada memorandum persefahaman yang telah dipersetujui oleh Kementerian Pendidikan dari kedua-dua buah negara pada tahun 2006 bagi meningkatkan kerjasama bersama dan menyediakan perkongsian dalam pembelajaran di kalangan guru-guru dan pelajar-pelajar di kedua-dua buah negara.