Lawatan sekolah ke Galeri Mandian Puteri

Lawatan sekolah ke Galeri Mandian Puteri

Oleh Sha ari HZ

 

Tutong – Galeri Mandian Puteri menjadi pilihan bagi murid-murid dari Sekolah Rendah Keriam bagi mengadakan lawatan sambil belajar mereka. Seramai 72 orang murid termasuk guru-guru menyertai lawatan berkenaan yang diketuai oleh Hajah Norhayati binti Haji Abd Kadir.

Rombongan disambut oleh Pengurus Galeri Mandian Puteri, Awang Sha’ari bin Haji Zunaidi. Rombongan diberikan taklimat ringkas mengenai galeri tersebut dan seterusnya meninjau serta membuat aktiviti di sepanjang lawatan berkenaan. Murid-murid diberikan taklimat mengenai ternakan madu kelulut dan berkesempatan meninjau lebih dekat lokasi pemeliharaan madu kelulut.

Rombongan kemudian dibawa melihat bilik pameran warisan kepunyaan Awang Sha’ari yang mempamerkan koleksi-koleksi barang-barang antik, replika Telaga Mandian Puteri Tanjong Maya dan macam-macam lagi. Seterusnya rombongan dibawa ke ladang ternakan kambing.

Rata-rata murid-murid sangat teruja apabila melihat kambing-kambing berkenaan, kemudian mereka diberi peluang untuk memberi makan kambing dan bergambar ‘selfie’ bersama kambing-kambing yang mereka suka.

Para pelajar dan guru mendengar penerangan mengenai replika Telaga Mandian Puteri.
Para pelajar dan guru mendengar penerangan mengenai replika Telaga Mandian Puteri.
Murid-murid menyaksikan anak kambing yang digendong oleh guru mereka.
Murid-murid menyaksikan anak kambing yang digendong oleh guru mereka.
Awang Sha’ari bergambar ramai bersama rombongan dari Sekolah Rendah Keriam.
Awang Sha’ari bergambar ramai bersama rombongan dari Sekolah Rendah Keriam.

Ketua rombongan ketika ditemu bual menyatakan bahawa lawatan ini sangat baik kerana murid-murid berpeluang menyaksikan sendiri ternakan kelulut, cara-cara menyedut keluar kelulut. Selain itu murid-murid juga diberi kesempatan memegang kambing dan memberinya makan.

Manakala di Galeri Warisan, murid-murid dapat melihat barang-barang antik dan sejarah keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya di Daerah Tutong.

Galeri Mandian Puteri yang terletak di Kampung Tanjong Maya, Tutong, merupakan salah sebuah lokasi pelancongan yang termasuk di dalam Destinasi Daerah Tutong. Di galeri ini banyak kegiatan lawatan yang disediakan untuk dilakukan oleh para pelawat antaranya Bengkel Memproses Minyak Kelapa Dara, Galeri Warisan, Taman Ternakan Madu Kelulut, Ternakan Ayam Kampung dan lawatan ke ternakan kambing.

ARTIKEL YANG SAMA