Lawatan tanam minat belajar lebih gigih

Lawatan tanam minat belajar lebih gigih

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 24Nov – Lebih 20 pelajar Tahun 6 Sekolah Rendah Ahmad Tajuddin telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Belait, Panaga, hari ini.

Rombongan berkenaan yang disertai lima guru telah diketuai oleh dua guru Tahun 6, Dayang Sarina binti Abdul Wahid dan Dayang Yusmaida binti Haji Yunos.

Semasa lawatan itu, rombongan telah mendengar taklimat mengenai tugas-tugas harian anggota polis dan peranan unit-unit balai polis yang telah disampaikan oleh pegawai dari Unit Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Koperal Norhaliza binti Haji Ghana.

Rombongan juga berpeluang menyaksikan pameran yang disediakan oleh beberapa unit Balai Polis Panaga.

Dayang Yusmaida ketika ditemu bual Media Permata, menyatakan lawatan tersebut merupakan antara aktiviti pembelajaran di luar sekolah dan pada tahun ini ia diadakan setelah pelajar Tahun 6 tersebut selesai menduduki Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) Oktober lalu.

Pelajar dan guru ketika mendengar penjelasan mengenai Unit Penderaan Wanita dan Kanak-kanak.
Pelajar dan guru ketika mendengar penjelasan mengenai Unit Penderaan Wanita dan Kanak-kanak.
: Salah seorang pelajar yang berpeluang memegang senjata yang digunakan oleh anggota polis.
: Salah seorang pelajar yang berpeluang memegang senjata yang digunakan oleh anggota polis.

Balai Polis Panaga merupakan tempat ketiga yang dikunjungi setelah lawatan ke Balai Bomba Kuala Belait dan Balai Bomba SPARK di Sungai Liang, ujar beliau.

Katanya lagi, aktiviti sebelum musim cuti akhir penggal persekolahan yang bermula awal bulan depan ini akan dapat memberi idea kepada para pelajar untuk menulis karangan dengan melahirkan pandangan dan pengetahuan mereka hasil daripada pengalaman mengunjungi tempat tersebut, selain menyaksikan pameran dan mendengar taklimat yang disampaikan.

Lawatan sambil belajar itu antara lain untuk memberikan pengetahuan tentang peranan dan tugas-tugas anggota polis, selain menyaksikan pameran daripada unit-unit seperti Unit Polis Simpanan Kompeni A, Unit Pengurusan Jenayah Di Tempat Kejadian, Unit Penderaan Wanita dan Kanak-kanak dan Jabatan Skuad Tindakan Segera Pencegahan Jenayah.

Melaluinya juga, ia akan dapat menanam minat belajar dan mendorong mereka untuk lebih gigih mencapai cita-cita tentang kerjaya pada masa akan datang dan sebagai integrasi pembelajaran dalam kelas dan luar sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA