Lawatan tingkatkan jaringan a’bangsa

Lawatan tingkatkan jaringan a’bangsa

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Nov – Rombongan lebih 30 orang dalam kalangan pelajar dan guru-guru Sekolah Agama (Majlis Islam Sarawak) Miri, Sarawak telah mengadakan lawatan Program Jaringan SKK Jaulah Mahabbah dan Penanda Aras ke Sekolah Arab Belait, di sini, hari ini.

Ketibaan rombongan tersebut kira-kira pukul 10:00 pagi tadi, telah dialu-alukan oleh Guru Besar Sekolah Arab Belait, Hajah Nor Amalina binti Haji Mohd Ali dan guru-guru sekolah tersebut serta Ketua Pegawai Perhubungan Jabatan Pengajian Islam, Hajah Rufizah yang turut hadir dan pegawai-pegawai lainnya.

Lawatan yang melibatkan penyertaan pelajar-pelajar Tahun 3 hingga 5 Sekolah Agama (Majlis Islam Sarawak) Miri itu antara lain bertujuan untuk mewujudkan program jaringan peringkat antarabangsa yang berterusan di samping berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar idea antara kedua-dua sekolah bagi kecemerlangan sekolah.

Penyelaras merangkap ketua rombongan tersebut, Setiausaha UPSR sekolah tersebut, Rozana binti Rahmat, ketika ditemui Media Permata menyatakan, sekolah mereka merupakan salah sebuah sekolah kluster di Miri, dan sebagai sekolah kluster, program-program di bawah kluster dan lawatan ke sekolah luar negara merupakan antara aktivitinya.

Menurutnya, sebelum ini, sekolah itu telah membuat lawatan ke Sabah, dan pada tahun ini mereka memilih Brunei sebagai tempat lawatan melalui Program Jaringan Jaulah Mahabbah mereka, yang juga dihasratkan untuk mengeratkan hubungan mesra antara kedua-dua buah negara.

Gambar ramai antara pelajar dan guru-guru kedua-dua Sekolah Agama (MIS) Miri dan Sekolah Arab Belait melalui lawatan, kelmarin.
Gambar ramai antara pelajar dan guru-guru kedua-dua Sekolah Agama (MIS) Miri dan Sekolah Arab Belait melalui lawatan, kelmarin.

Melalui lawatan itu juga, mereka ingin memperkenalkan sekolah mereka, selain turut berhasrat untuk mengenali Sekolah Arab di negara ini, tambahnya.

“Pelajar-pelajar yang terlibat dalam lawatan hari ini, merupakan peserta Kalam Jamaie yang akan menyertai Program Kluster Peringkat Negeri pada tahun depan, dan mereka telah berjaya mendapat tempat ketiga peringkat negeri pada tahun lepas, dan dengan adanya lawatan ini, dapatlah kami menunjukkan persembahan pelajar kami untuk berkongsi idea dan aktiviti antara kedua-dua sekolah,” ujarnya.

Atur cara lawatan itu telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti pula dengan sesi dialog di antara Sekolah Arab Belait dan Sekolah Agama (MIS) Miri, sebelum diteruskan dengan persembahan ‘Kalam Jama’ie’ oleh pelajar-pelajar Sekolah Agama (MIS) Miri dan persembahan Tausyeh oleh pelajar lelaki Sekolah Arab Belait.

Rombongan juga telah dibawa melawat ke persekitaran sekolah dan kelas-kelas, di samping menyertai aktiviti Bahasa Arab/Diniyah, aktiviti umum, dan sebagainya sebelum diakhiri dengan acara penyampaian sijil pada majlis penutup yang diadakan di surau sekolah tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA