Lawatan tinjau perkembangan pelajar diteruskan di Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 11 Jan – Bagi melihat lebih dekat perkembangan pembelajaran dan pengajaran, Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud telah meneruskan siri lawatannya ke Ma’had Islam Brunei dan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain (SUPAPN), di sini, hari ini.

Lawatan dimulakan di Ma’had Islam Brunei, Tutong, di mana ketibaan Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti dan rombongan telah dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajijah binti Haji Moktal; Pengetua Ma’had Islam Brunei, Pengiran Haji Asmadi bin Pengiran Haji Aliuddin; pegawai-pegawai kanan Jabatan Pengajian Islam (JPI) serta guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan.

Semasa lawatan, Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama berkesempatan membuat tinjauan ke bilik-bilik darjah Tahun 6 dan 7 sambil beramah mesra dengan pelajar-pelajar.

Mahad Islam Brunei merupakan salah sebuah institusi pendidikan Arab di Daerah Tutong yang mempunyai seramai 69 orang guru dan 456 orang pelajar Tahun 5 hingga 11.

Ma’had Islam Brunei telah mencapai beberapa kecemerlangan yang membanggakan yang mana daripada segi akademik, pada tahun 2017 sekolah berkenaan telah mencapai 100 peratus lulus dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) telah mencapai 88 peratus lulus.

Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama berserta rombongan semasa mengadakan lawatan ke Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain, Tutong, kelmarin.
Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti ketika meninjau pembelajaran para pelajar di Mahad Islam Brunei, kelmarin.

Dalam aspek kokurikulum, Ma’had Islam Brunei telah banyak mencapai kejayaan antaranya Pertandingan The Crown Prince CIPTA Awards anjuran Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Amp BLNG kategori 3 mendapat tempat keempat, dalam Kategori Smart Junior mendapat tempat kelima; Pertandingan Lagu Dakwah Sekolah-Sekolah Menengah Senegara mendapat naib juara; Perlawanan Menembak Simulator Pasukan Kadet Tentera ABDB bagi Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Senegara menjadi Johan, Naib Johan Menjatuhkan Piring Besi Lelaki dan banyak lagi.

Selain itu, Ma’had Islam Brunei juga giat membuat Program Interversi dalam pengukuhan Bahasa Arab terhadap pelajar-pelajar berbentuk pembelajaran secara khusus yang diadakan setiap Isnin hingga Khamis dari jam 12:35 hingga 1:15 petang, iaitu kemahiran komunikasi dalam Bahasa Arab untuk mendidik pelajar dan guru mahir serta mengusai Bahasa Arab dengan sebaiknya.

Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti seterusnya mengadakan lawatan ke SUPAPN pada sebelah petang di mana ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Dayang Hajijah dan Guru Besar SUPAPN, Dayangku Mariam binti Pengiran Haji Mumin, pegawai-pegawai kanan JPI serta guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan.

SUPAPN mempunyai seramai 28 orang guru dan 383 orang pelajar dari Darjah Pra hingga 6.

Sekolah berkenaan telah mencapai beberapa kecemerlangan yang membanggakan yang mana daripada segi Kurikulum, pada tahun 2017, sekolah tersebut telah mencapai 100 peratus lulus dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU).

Jumlah keseluruhan murid-murid ugama di Daerah Tutong adalah seramai 4,081 orang dengan 333 orang guru.

Turut menyertai rombongan lawatan berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Roslan bin Haji Taja’ah.