LBC jana sektor telekomunikasi

LBC jana sektor telekomunikasi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Brunei International Gateway (BIG) Sdn. Bhd. mengumumkan bahawa mereka akan mendaratkan Sistem Kabel Brunei-Labuan (LBC) iaitu sistem kabel dasar laut generasi baru ‘multi-tier terabyte’ di Tungku, Brunei.

Projek tersebut yang dijadualkan siap menjelang suku ketiga tahun ini, dijangka memberi impak positif kepada sektor telekomunikasi bagi Malaysia Timur dan Brunei serta ekonomi kedua-dua buah negara.

LBC dimiliki oleh Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTTSB) iaitu sebuah anak syarikat milik penuh Harta Sabah Sdn. Bhd. (sayap pelaburan milik penuh kerajaan Sabah), yang memiliki dan menguruskan satu daripada kemudahan infrastruktur rangkaian terbesar (menara telekomunikasi) di Sabah.

Majlis Penandatanganan Perjanjian Pihak Pendaratan antara BIG dan CTTSB berlangsung hari ini di Tingkat 8, Hotel Orchid Garden, Anggerek Desa.

Semasa Majlis Penandatanganan Perjanjian Pihak Pendaratan antara BIG dan CTTSB.
Semasa Majlis Penandatanganan Perjanjian Pihak Pendaratan antara BIG dan CTTSB.

BIG diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif BIG, John Murray manakala CTTSB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif CTTSB, Dr. Mahadi Harris-Murshidi.

Menurut Dr. Mahadi Harris-Murshidi, LBC akan membolehkan CTTSB mengembangkan rangkaiannya melepasi kawasan geografi yang lain di rantau ini, termasuk asas yang kukuh dalam pasaran pertumbuhan utama Brunei dan Malaysia.

“Perjanjian pendaratan dengan BIG ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pertumbuhan CTTSB ini. Sejak CTTSB mencapai keputusan muktamad pelaburan pada akhir tahun 2014, kita telah mencapai kemajuan yang luar biasa dalam membina jejak yang mengagumkan (formidable footprint) iaitu pintu masuk antarabangsa, dengan kehadiran strategik di hab ekonomi utama bagi mencapai permintaan industri,” katanya.

Manakala John Murray pula berkata, pendaratan kabel gentian optik dasar laut antarabangsa di Brunei yang keempat itu menyediakan lebih banyak laluan luar negara bagi Brunei dan juga untuk negara jiran serta membantu menjadikan Brunei sebagai Hab Komunikasi bagi Asia Tenggara.

Sistem LBC tersebut melibatkan pembinaan sistem kabel baru di seluruh Teluk Brunei dari Laut China Selatan mengikut spesifikasi semasa global. Tujuan utamanya adalah untuk mendapatkan akses kepada gerbang Internet antarabangsa dan kapasiti menerusi Asia America Gateway (AAG), Sistem Kabel Asia Tenggara Jepun (SJC) dan South East Asia – Middle East – Western Europe 3 (SMW3), dengan pilihan bagi naik taraf pada masa akan datang.

Terdapat dua tempat pendaratan (landing point) bagi LBC iaitu di Kiamsam (Wilayah Persekutuan Labuan) dan di Tungku (Brunei).

Projek berkenaan akan membolehkan CTTSB mengukuhkan dirinya bagi perkhidmatan yang baru muncul dimudah carakan dengan peningkatan kapasiti jalur lebar domestik dan antarabangsa, laluan alternatif di bawah terma tahap perkhidmatan kompetitif. Ini juga akan membantu Malaysia Timur dalam meningkatkan tele-density, kapasiti dan penyambungan jalur lebar.

Ini sekali gus membuka peluang untuk menarik pelaburan langsung asing di samping memenuhi pertumbuhan yang semakin meningkat dalam kapasiti perkhidmatan maklumat dan komunikasi yang diperlukan oleh kerajaan tempatan, perniagaan dan orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA