LBKBS usul pemasangan papan maklumat di tempat menarik

LBKBS usul pemasangan papan maklumat di tempat menarik

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 31 Dis – Selaras dengan pelannya untuk mencantikkan Kuala Belait dan Seria, Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria (LBKBS) merancang untuk mendirikan dan memasang papan-papan tanda maklumat di tempat-tempat menarik bagi menarik perhatian pengunjung serta pelawat dari luar daerah dan luar negara.

Hasrat ini dinyatakan oleh Pengerusi LBKBS, Haji Ali bin Matyassin semasa ditemui selepas menghadiri Ceramah Maulud Nabi yang dianjurkan oleh LBKBS di Dewan Bandaran, Kuala Belait, hari ini.

“Ketika ini, projek pemeliharaan sedang giat dijalankan dengan kerjasama Minyak Shell Brunei Sdn Bhd, sebahagian daripada program tanggungjawab korporat sosial mereka dalam membantu membaik pulih serta mencantikkan kembali Pusing Keliling ‘Teko’ di Jalan Singa Menteri yang menghubungkan Kuala Belait, Kampung Pandan dan Rasau,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, dengan persediaan pelan untuk mengecat semula kedai-kedai lama di sepanjang Jalan Pretty di Kuala Belait dan juga jalan di sepanjang kedai-kedai lama di Pekan Seria dengan warna-warna menarik, papan-papan tanda yang mempunyai maklumat tertentu mengenai tempat-tempat yang sering menjadi kunjungan para pelawat di kedua-dua pekan akan didirikan bagi memberi pengenalan lanjut mengenai sesebuah tempat tarikan tersebut.

Projek mencantikkan kawasan Pusing Keliling ‘Teko’ di Kuala Belait sedang giat dilaksanakan.
Projek mencantikkan kawasan Pusing Keliling ‘Teko’ di Kuala Belait sedang giat dilaksanakan.
Haji Ali ketika ditemu bual oleh pihak media.
Haji Ali ketika ditemu bual oleh pihak media.

“Pada masa ini kami sedang dalam perbincangan yang berterusan bersama kalangan ahli-ahli lembaga untuk tampil dengan rancangan yang menarik bagi mengindahkan dan memeriahkan persekitaran di sini dengan menjadikannya lebih selesa dan menarik untuk dikunjungi oleh orang ramai,” jelas Haji Ali lagi.

Bagi membantu LBKBS dalam melaksanakan rancangan dan cita-cita badan tersebut, Jabatan Kerja Raya cawangan Belait dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) juga sedang giat menjalankan projek dengan mula meletakkan pasu tumbuh-tumbuhan di tengah-tengah jalan berkembar manakala tanaman flora juga ditanam untuk meningkatkan penampilan menarik dan keindahan kehijauan di sekeliling Pusing Keliling Teko.

Beliau turut mengongsi mengenai rancangan masa depan iaitu untuk melebarkan Jalan Maulana di Kuala Belait di mana aktiviti berjoging selalu dilakukan oleh sesetengah penduduk yang tinggal berdekatan kawasan itu.

“Kawasan di sana (Jalan Maulana) adalah sangat indah dan popular, jadi kami merancang untuk memperluaskan jalan kaki lima bagi pejalan kaki dan juga penduduk yang membuat senaman larian di sana agar mereka dapat menggunakannya dengan lebih selamat,” jelasnya.

ARTIKEL YANG SAMA