LCW buru kemenangan kelima Siri Super Akhir

LCW buru kemenangan kelima Siri Super Akhir

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Setelah dua tahun tidak beraksi di Kejohanan Badminton Siri Super Akhir, pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei optimis mahu merangkul kejuaraan itu buat kali kelima di Dubai.

Walaupun beliau tidak beraksi dalam beberapa kejohanan Siri Super baru-baru ini namun ia bukan penghalang buat Chong Wei menambah koleksi kemenangannya pada kejohanan yang bermula dari 14 hingga 18 Dis ini.

Tidak mahu mendabik dada, pemain berpengalaman itu tidak memandang rendah pemain perseorangan lain iaitu pemain Jan Jorgensen dan Viktor Axelsen dari Denmark, Son Wan Ho (Korea Selatan), Tian Houwei (China), Ng Ka Long (Hong Kong) dan Marc Zwiebler (Jerman) dan pemain wild card, Chen Long dari China.

Lee Chong Wei mempamerkan aksi permainannya di hadapan para peserta kem badminton Astro Kasih baru-baru ini. - Bernama
Lee Chong Wei mempamerkan aksi permainannya di hadapan para peserta kem badminton Astro Kasih baru-baru ini. – Bernama

Chen Long mendapat tiket wild card bagi melengkapkan kuota lapan pemain disebabkan statusnya sebagai pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016.

“Semua pemain yang tersenarai dalam lapan terbaik adalah pemain yang cemerlang tahun ini, saya tidak memandang rendah mana-mana pemain. Saya tidak mahu memikirkan siapa lawan saya, lebih baik fokus pada persediaan diri sendiri.

“Hanya tinggal seminggu lebih sahaja sebelum ke Dubai, kesihatan saya semakin baik, kecederaan saya juga sudah pulih, sasaran saya ke sana adalah untuk menang untuk kali kelima, mana-mana pemain yang beraksi sudah pasti mahu menang,” katanya kepada pemberita selepas menjalani latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini. – Bernama