Lebah tangguh penerbangan

Lebah tangguh penerbangan

JAKARTA, 6 Jan (AFP) – Seekor lebah telah menangguhkan sebuah kapal terbang penumpang Indonesia selama empat jam selepas terperangkap dalam peralatan penting dan menimbulkan masalah dengan kawalan pesawat udara, kata syarikat penerbangan hari ini.

Penerbangan itu, dikendalikan oleh syarikat penerbangan Indonesia Garuda, dijadualkan berlepas pagi semalam dari barat pulau Sumatera dan menuju ke Jakarta.

Namun juruterbang Boeing 737, yang sedang membawa 156 penumpang, memutuskan tidak akan berlepas selepas mendapati terdapatnya masalah dengan kawalan, menurut Garuda.

“Satu siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku disebabkan kawalan enjin elektronik kapal terbang mengalami masalah teknikal selepas seekor serangga termasuk ke dalam tiub Pitot,” kata jurucakap syarikat penerbangan Benny Butarbutar dalam satu kenyataan.

“Disebabkan isu keselamatan, Garuda Indonesia memutuskan untuk menangguhkan penerbangan.”

Seorang lagi pegawai Garuda mengesahkan seekor lebah telah terperangkap dalam tiub pitot, peralatan penting yang mengukur kelajuan udara.

Syarikat penerbangan tidak berkata sama ada lebah berkenaan terselamat dalam kejadian itu.

Setelah dibaiki, kapal terbang itu berlepas dan mendarat dengan selamat di Jakarta pada petang semalam.

ARTIKEL YANG SAMA