Lebaran diraikan sederhana

Lebaran diraikan sederhana

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 3 Ogos – Walaupun di sambut secara sederhana, namun Majlis Mesra Aidilfitri bagi anggota Kompeni E Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dan Pejabat Pentadbiran Awam Perkhemahan Bangar tetap meriah diadakan, semalam.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyerikan majlis yang berlangsung di Rumah Masak Perkhemahan Bangar tersebut ialah Pemerintah TDDB, Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Majlis dimulakan dengan menandatangani lembaran kenangan oleh tetamu kehormat dan seterusnya bergambar ramai disusuli dengan bacaan Doa Selamat.

Turut hadir pada majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Amir Hairil bin Haji Mahmud, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai kanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), ketua ketua jabatan dan anggota Kompeni E Batalion Pertama TDDB dan Pejabat Pentadbiran Awam Perkhemahan Bangar berserta keluarga mereka.

Gambar ramai bersama Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan.
Gambar ramai bersama Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan.
Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan mengunjung pondok-pondok makanan.
Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan mengunjung pondok-pondok makanan.

Di majlis tersebut, pelbagai juadah disajikan di beberapa buah pondok yang direka khas termasuk udang galah masak merah yang sudah setentunya membuka selera, sinonim dengan daerah ini, serta sajian buah durian sebagai pencuci mulut.

Majlis berkenaan merupakan salah satu aktiviti tahunan bagi memeriahkan lagi suasana Hari Raya Aidilfitri tahun ini di samping menjalin hubungan baik di antara anggota ABDB amnya dan TDDB khasnya dengan pihak awam.

Sambil menikmati sajian yang disediakan, jemputan yang hadir turut dihiburkan dengan melodi Hari Raya yang dipersembahkan oleh anggota Perkhemahan Bangar.

ARTIKEL YANG SAMA