Lebaran imbau kenangan bersama

Lebaran imbau kenangan bersama

Oleh Haji Ahmad Haji Salim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Lebaran ada kalanya mengimbas semula kenangan lama bagi mereka yang jarang bertemu sama ada kerana terpisah oleh jarak jauh, sibuk dengan pekerjaan atau berpindah-randah.

Penduduk Kampung Setia, Mukim Sungai Kebun menjadikan Majlis Sambutan Aidilfitri tahun ini untuk bersatu semula dengan saudara sekampung dan generasi baru yang sebahagiannya sudah berpindah ke darat.

Majlis bertemakan ‘Saudara Ku Kampung Setia’ itu berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Pehin Datu Jamil, Kampung Setia ‘A’ Kampong Ayer dan dihadiri lebih 120 orang penduduk kedua-dua buah kampung.

Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Penghulu Mukim Sungai Kebun, Pateh Dato Paduka Haji Masri.

Ia mengeratkan hubungan silaturahim dengan generasi muda dan tua apabila bertemu semula dengan rakan, waris dan jiran lama di sana.

Penduduk kampung bagi kedua-dua buah kampung ketika bergambar ramai di Majlis Sambutan Aidilfitri di dewan sekolah Kampung Setia ‘A’.
Penduduk kampung bagi kedua-dua buah kampung ketika bergambar ramai di Majlis Sambutan Aidilfitri di dewan sekolah Kampung Setia ‘A’.

Ini kerana sebahagian penduduk sudah berpindah ke Skim Perumahan Negara dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati serta memiliki perumahan persendirian dan ada juga yang sudah pindah kerana berkahwin dan sebagainya.

Majlis juga dimeriahkan dengan pemotongan kek Jubli Emas 50 tahun Kampung Setia (1965-2015) sempena tertubuhnya Kampung Setia yang dipecahkan kepada Kampung Setia ‘A’ dan Kampung Setia ‘B’.

Ia diakhiri dengan gambar kenang-kenangan warga ‘Saudara Ku Kampung Setia’ bersama tetamu kehormat dan penyampaian cenderahati oleh Pengerusi Majlis, Mejar (B) Awang Haji Tapa/Awang Mustapha bin Haji Aris kepada tetamu kehormat.

ARTIKEL YANG SAMA