Lebih 1 juta dipindahkan

Lebih 1 juta dipindahkan

SEOUL, 12 Jul (AFP) – Penerbangan tempatan dibatalkan di Korea Selatan hari ini tatkala Taufan Chan-hom membawa angin kencang dan hujan lebat ke barat daya wilayah, selepas membawa kemusnahan di China.

Ribut tersebut menyebabkan lebih 150 penerbangan domestik terkandas di seluruh negara, kata pihak berkuasa lapangan terbang. Penerbangan antarabangsa tidak terjejas.

Amaran angin kencang dan hujan ribut telahpun dikeluarkan di kawasan pantai selatan dan barat Korea Selatan, yang menerima 291 milimeter hujan.

Pihak berkuasa di China memindahkan lebih satu juta orang ketika taufan melanda pantai timur semalam, sekaligus melumpuhkan hubungan pengangkutan dan memusnahkan tanah ladang, walaupun tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan, kata kerajaan dan media China.

Ombak besar membadai pantai di Wenling, di timur wilayah yang paling teruk terjejas di Zhejiang, sementara di kawasan utara, penduduk di bandar Shaoxing bergegas naik ke kereta penggali dan menggunakan tali untuk melepaskan diri daripada air banjir.

Sebilangan penduduk yang telah dipindahkan menggunakan bot ketika banjir yang disebabkan oleh hujan lebat dan taufan Chan-hom melanda Shaoxing, wilayah Zhejiang, timur China. – AFP
Sebilangan penduduk yang telah dipindahkan menggunakan bot ketika banjir yang disebabkan oleh hujan lebat dan taufan Chan-hom melanda Shaoxing, wilayah Zhejiang, timur China. – AFP

Pihak berkuasa wilayah menganggarkan kerugian ekonomi akibat ribut mungkin mencecah lebih daripada 1.9 bilion yuan, terutamanya dalam sektor pertanian, lapor media negeri China.

Gambar dari rantau menunjukkan rumah hijau yang pecah, sistem penyaliran dibanjiri dan tanaman rosak.

Selepas ribut, gambar yang tersebar di Internet menunjukkan penduduk tua dan muda menangkap ikan yang dihanyutkan ke pantai oleh taufan.

Pusat Kaji Cuaca Negara China hari ini menurun taraf amaran taufan daripada merah kepada jingga, amaran kedua tertinggi.

Namun ia mengeluarkan satu amaran hujan ribut untuk wilayah Shandong, Liaoning, Jilin dan Heilongjiang dan meramalkan angin kencang di utara Laut China Timur.

Lima orang di Filipina terbunuh pada awal minggu dan lebih daripada 20 cedera di Jepun pada Jumaat.

Taiwan juga terjejas oleh ribut berkenaan, menutup pasaran saham, sekolah dan pejabat pada Jumaat ketika hujan lebat dan angin kencang membadai utara.