Lebih 10 maut nahas kereta api

Lebih 10 maut nahas kereta api

ROM, 12 Julai – Kira-kira 10 orang terkorban hari ini dalam satu pelanggaran antara dua buah kereta api di rantau Puglia selatan Itali, menurut anggota bomba.

Rakaman menunjukkan perkhidmatan kecemasan berlumba-lumba menarik mangsa daripada serpihan gerabak remuk yang tersasar ke trek tunggal berhampiran bandar Andria, berhampiran Bari.

Ketua perkhidmatan bomba di Bari berkata 10 orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam kemalangan tersebut, sementara laporan media menaikkan jumlah kematian kepada 20 orang.

Seramai 34 orang telah dimasukkan ke hospital, 18 daripadanya dalam keadaan parah, menurut laporan media Itali.

Kereta wagon pengebumian membawa keranda tiba di tempat kejadian untuk membawa pergi mereka yang meninggal dunia.

Impak itu berlaku di lengkungan trek di kawasan desa dan mencampakkan gerabak depan kedua-dua buah kereta api ke dusun zaitun yang bersempadanan.

Gambar dari udara menunjukkan dua buah kereta api remuk teruk selepas bertembung di rantau selatan Puglia, mengorbankan kira-kira 10 orang. - AP
Gambar dari udara menunjukkan dua buah kereta api remuk teruk selepas bertembung di rantau selatan Puglia, mengorbankan kira-kira 10 orang. – AP

“Ia kejadian yang amat dahsyat, sukar rasanya untuk tidak termuntah pada pandangan awal,” kata jurnalis tempatan, Lucia Olivieri yang bekerja bagi Andria Live.it, menambah bahawa para pekerja penyelamat bimbang ramai lagi yang masih terperangkap.

Menurutnya lagi, hospital-hospital tempatan telah mengeluarkan permintaan dalam rangkaian sosial bagi penderma darah untuk tampil bagi membantu mangsa yang cedera.

Ahli paramedik mendirikan pusat perubatan tanpa persediaan di kawasan pokok zaitun, dengan tiga buah helikopter membawa mangsa cedera, termasuk seorang kanak-kanak lelaki.

Kebanyakan para penumpang dalam kereta api itu adalah para pelajar yang sedang menuju ke Universiti Bari.

Ketua polis trafik di Andria, Riccardo Zingaro berkata gerabak kuning dan biru itu ‘renyuk teruk’ oleh impak tersebut.

Para penyiasat berkata kemungkinan sebuah kereta api membuat perjalanan terlalu laju, dan tidak mustahil pelanggaran itu berpunca atas kesilapan manusia. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA