Lebih 100 hadiri taklimat CSDS

Lebih 100 hadiri taklimat CSDS

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Lebih 100 warga perkhidmatan awam telah menghadiri taklimat mengenai Cuti Sakit Disahkan Sendiri (CSDS) yang diumumkan dalam Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri Bilangan 8/2016, di Dewan Penghayatan, Institut Perkhidmatan Awam, di sini, hari ini.

Majlis anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu diketuai oleh Pemangku Ketua Pengarah jabatan berkenaan, Haji Abdul Manap bin Othman.

Taklimat yang telah disampaikan oleh pegawai di JPA, Dayang Safarah binti Haji Jamaludin itu antara lain bertujuan untuk memberikan penjelasan mengenai faedah cuti sakit baru yang diperkenalkan dan mula berkuat kuasa pada 1 September 2016 depan.

Surat keliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri melalui laman sesawangnya pada 8 Ogos 2016 itu menjelaskan faedah cuti sakit ini tidak menjejaskan peraturan cuti sakit yang sedang berkuat kuasa pada masa ini.

CSDS adalah khusus bagi mereka yang menghidap penyakit ringan yang tidak berkemampuan (akibat kesakitan) untuk pergi ke hospital, rumah-rumah sakit dan klinik-klinik untuk mendapatkan rawatan.

Haji Abdul Manap bersama pegawai JPA lain ketika menjelaskan Cuti Sakit Disahkan Sendiri (CSDS).
Haji Abdul Manap bersama pegawai JPA lain ketika menjelaskan Cuti Sakit Disahkan Sendiri (CSDS).
Antara warga perkhidmatan awam yang menghadiri taklimat tersebut.
Antara warga perkhidmatan awam yang menghadiri taklimat tersebut.

Pada sesi taklimat itu, Dayang Safarah antara lain menjelaskan tatacara pemohonan CSDS di mana pemohon hendaklah memaklumkan kepada ketua jabatan, bahagian dan unit melalui telefon dan pesanan ringkas (SMS) atau mana-mana aplikasi perhubungan dalam tempoh 24 jam dalam hari yang sama semasa CSDS dipohonkan.

“Jika gagal, pegawai dan kakitangan berkenaan boleh dianggap tidak hadir bekerja tanpa kebenaran atau tanpa sebab selain itu, permohonan CSDS juga tidak boleh diwakilkan,” tegasnya.

Untuk pengetahuan warga perkhidmatan awam, borang permohonan CSDS hendaklah diisi melalui GEMS atau borang jabatan sebaik-baik saja kembali bertugas. Keterangan lanjut mengenai CSDS ini, orang awam boleh bertanya terus ke Bahagian Perkhidmatan Personel, JPA atau menghubungi talian 2382469 atau 2382143.

ARTIKEL YANG SAMA