Lebih 100 maut kereta api tergelincir

Lebih 100 maut kereta api tergelincir

LUCKNOW, India, 20 Nov – Sebuah kereta api ekspres India tergelincir pada awal hari ini, membunuh lebih 100 orang dalam salah satu nahas kereta api paling teruk di negara dalam bertahun-tahun lamanya, kata polis, tatkala pekerja kecemasan mencari mangsa daripada bangkai kereta api.

Penumpang yang terkejut memberitahu mereka terjaga oleh bunyi kuat, dan menceritakan usaha terdesak mencari orang kesayangan mereka di dalam kereta api itu, yang membawa sekurang-kurangnya sebuah rombongan kahwin dengan musim perkahwinan sedang berlangsung dengan rancak di India.

“Kami terjaga dengan bunyi kuat pada pagi ini. Keadaan menjadi gelap-gelita dan bunyi amat membingitkan,” beritahu salah seorang penumpang ketika beliau menunggu bersama keluarganya di tempat kejadian.

“Saya bernasib baik kerana masih hidup dan selamat. Ia merupakan satu pengalaman yang hampir-hampir membawa maut kepada kami.”

Ramai penumpang sedang tidur apabila 14 gerabak terkeluar daripada landasan di kawasan terpencil di luar utara bandar Kanpur di negeri Uttar Pradesh.

Pekerja penyelamat India mencari mangsa-mangsa yang terselamat dalam bangkai kereta api yang tergelincir berhampiran Pukhrayan di daerah Kanpur, 20 November. Nahas itu meragut 100 nyawa yang kebanyakannya tidur semasa kejadian berlaku, menurut polis. –AFP
Pekerja penyelamat India mencari mangsa-mangsa yang terselamat dalam bangkai kereta api yang tergelincir berhampiran Pukhrayan di daerah Kanpur, 20 November. Nahas itu meragut 100 nyawa yang kebanyakannya tidur semasa kejadian berlaku, menurut polis. – AFP

Ia adalah bencana paling teruk sejak 2010 apabila sebuah kereta api penumpang merempuh kereta api pengangkutan di timur negeri Bengal Barat, membunuh 146 orang dan mencedera lebih 200 yang lain.

“Jumlah kematian telah mencecah 104 orang sekarang,” kata Daljit Singh Chawdhary, ketua polis tambahan.

Seramai 150 orang lagi cedera dan dikejarkan ke hospital berhampiran, yang telah mengambil langkah berjaga-jaga selepas kemalangan pada awal pagi tadi.

Imej yang disiarkan dalam televisyen menunjukkan para pekerja sedang menjalankan usaha menyelamat dengan menggunakan pemotong besi dan peralatan lain untuk memotong gerabak yang rosak teruk yang bertaburan dengan beg pakaian dan bagasi lain. – AFP