Lebih 100 maut kuil terbakar

Lebih 100 maut kuil terbakar

NEW DELHI, 10 April (AFP) – Satu kebakaran besar telah memusnahkan sebuah kuil di selatan India pagi tadi, membunuh lebih 100 orang dan mencederakan ratusan lagi ketika mereka berkumpul untuk menonton pertunjukan bunga api.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada percikan bunga api menyebabkan mercun yang disimpan di dalam sebuah bangunan terbakar mengakibatkan letupan besar dalam satu tragedi yang Perdana Menteri India Narendra Modi katakan sebagai amat mengejutkan.

Penduduk berkata, mereka mendengar satu letupan besar memecahkan tingkap rumah mereka dari jarak kira-kira 100 meter, sebelum bergegas untuk mencari mangsa yang terselamat dalam runtuhan.

“Pagi ini apabila kami sampai, beberapa anggota badan manusia bertaburan di atas lantai dan bumbung,” penduduk tempatan Anita Prakash memberitahu rangkaian CNN-IBN sambil menambah dia telah menimbulkan kebimbangan keselamatan mengenai pertunjukan bunga api sebelum ini.

Sekumpulan doktor pakar dan ubat-ubatan telah dihantar dari New Delhi untuk membantu mangsa bencana ketika mereka yang terlibat dalam kebakaran Kuil Puttingal Devi itu dilaporkan mengalami kelecuran yang amat mengerikan.

Para pegawai perubatan dan orang ramai membantu membawa seorang lelaki yang cedera menuju ambulans untuk dikejarkan ke sebuah hospital selepas tragedi Kuil Puttingal Devi di Paravur, semalam. – AFP
Para pegawai perubatan dan orang ramai membantu membawa seorang lelaki yang cedera menuju ambulans untuk dikejarkan ke sebuah hospital selepas tragedi Kuil Puttingal Devi di Paravur, semalam. – AFP

Angkatan tentera laut dan udara juga menghantar beberapa buah helikopter untuk memindahkan mangsa yang cedera parah, kata seorang pegawai.

“Seramai 102 orang disahkan terbunuh, 280 lagi cedera dan dimasukkan ke beberapa buah hospital berasingan. Kini tumpuan kami adalah untuk menyediakan rawatan terbaik kepada mereka yang cedera,” Ketua Menteri Kerala, Oommen Chandy memberitahu pemberita.

Anggota bomba dan polis telah berjuang semalaman di kuil bandar pesisiran pantai Paravur untuk memadamkan api dan menyelamatkan mereka yang terperangkap di kompleks itu.

Rakaman video menunjukkan satu siri letupan besar dan bunga api meletus ketika kepulan asap memenuhi ruang udara kira-kira jam 3 pagi.

Runtuhan konkrit dan serpihan bangunan bertaburan di kompleks itu ketika polis memeriksa satu ikatan besar bunga api yang belum meletup.

Penduduk tempatan juga sempat merakamkan gambar mangsa yang berlumuran darah dan cedera di kawasan bencana.

Ada juga saksi mengatakan serpihan konkrit menyebabkan ramai penduduk cedera dan mangsa yang terbakar amat mengerikan sehingga sukar untuk dikenal pasti.

Chandy dan para pegawai lain berkata, kuil itu telah musnah akibat pertunjukan bunga api tanpa kebenaran.

“Saya tidak memberikan kebenaran untuk pertunjukkan ini kerana mereka meminta izin untuk menganjurkannya atas dasar pertandingan,” seorang pegawai di daerah Kollam, A. Shainomal memberitahu rangkaian NDTV.

Kerajaan Kerala mengarahkan satu siasatan terperinci terhadap punca bencana dan jurucakap Chandy memberitahu AFP bahawa pihak polis telah mendaftarkan kes jenayah terhadap pihak berkuasa kuil.

Ahli parlimen tempatan N.K. Premachandran berkata, letupan berlaku semasa pertandingan bunga api antara dua kumpulan di mana beribu-ribu orang berkumpul di situ. Satu bunga api yang jatuh ke atas sebuah bangunan simpanan bahan piroteknik telah mencetuskan letupan, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA