Lebih 100 pelajar ‘IQRA’ terima sijil, hadiah

Lebih 100 pelajar ‘IQRA’ terima sijil, hadiah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Sekolah Membaca Al-Quran ‘IQRA’ telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Pra Diploma dan Pelajar-pelajar Cemerlang Sekolah ‘IQRA’ yang berlangsung di Ruang Legar Sekolah ‘IQRA’, Kampung Manggis Satu, Jalan Muara di sini, hari ini.

Hadir menyampaikan sijil dan hadiah kepada seramai 36 pelajar Pra Diploma Pengajian Tinggi Al-Quran dan 74 pelajar terbaik Sekolah Membaca Al-Quran ‘IQRA’ serta Sekolah Rendah ‘IQRA’ ialah Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Abdul Aziz bin Haji Akop yang juga selaku tetamu kehormat.

Yang Di-Pertua ‘IQRA’, Haji Mislee bin Haji Abdullah ketika ditemui, menjelaskan bahawa sekolah itu mempunyai kelas pengajian daripada peringkat kanak-kanak hingga dewasa, dan terdapat sebanyak 11 peringkat kelas pengajian iaitu dari Kelas Muqaddam Pra hingga Kelas Berlagu.

Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada pelajar yang menerima sijil pra diploma.
Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada pelajar yang menerima sijil pra diploma.

“Alhamdulillah, pada masa ini keramaian para pelajar yang menuntut di sekolah berkenaan telah meningkat dari setahun ke setahun. Sekolah ini mempunyai lapan buah cawangan iaitu sebuah di Pusat Manggis; di Mentiri; Sinarubai Bengkurong dan yang terbaru di Kapok Muara, sementara di Rimba dan Sengkurong masing-masing mempunyai dua buah Sekolah ‘IQRA’.

“Pihak Sekolah ‘IQRA’ berharap dengan adanya cawangan-cawangan berkenaan akan memudahkan para ibu bapa dan orang ramai untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah berkenaan bukan sahaja untuk melancarkan pembacaan Al-Quran tetapi untuk memperbaiki lagi pembacaan tajwid dan mendalami lagi ilmu Al-Quran,” ujarnya.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan persembahan ‘Selawat Ar-Arzq’ daripada murid Tadika 2 dan Tadika 3 Sekolah Rendah ‘IQRA’ dan seterusnya penyampaian hadiah dan sijil oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan persembahan tausyeh ‘Sala Tun Bissa La Bil Mubin’ daripada para pelajar Tahun 4 dan Tahun 5 sekolah berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA