Lebih 100 pelajar Tahun 9 ikuti Kursus Asas PRS

Lebih 100 pelajar Tahun 9 ikuti Kursus Asas PRS

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April – Lebih 100 orang pelajar Tahun 9 dari beberapa buah sekolah mengikuti Kursus Asas Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) bertemakan ‘Luruskah… Salahkah…’ yang membuka tirainya hari ini di Dewan Anggerek, Sekolah Menengah Berakas.

Kursus disertai pelajar-pelajar dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS), Sekolah Menengah Lambak Kiri, Sekolah Menengah Berakas, Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab dan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Masna.

Kursus anjuran Kaunselor-Kaunselor Kluster 3 dengan kerjasama Unit Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan itu merupakan program tahunan yang melibatkan para pelajar sekolah-sekolah menengah dan maktab seluruh negara, yang mana setiap sekolah dikehendaki menubuhkan satu kumpulan PRS.

Kursus Asas dan Lanjutan PRS adalah salah satu program yang dilaksanakan untuk membantu para pelajar PRS menimba ilmu pengetahuan, pengalaman dan meningkatkan kemahiran mereka ke arah menjadi pemimpin pelajar yang berwibawa dan berkarisma.

Antara isi kandungan latihan kursus ini ialah definisi pembimbing rakan sebaya, kemahiran interpersonal, kemahiran asas kaunseling, kemahiran asas menolong, dyad dan triad, pengenalan program PRS di sekolah dan juga latihan dalam kelompok.

Para pelajar kelihatan bersemangat ketika mengikuti Kursus Asas PRS.
Para pelajar kelihatan bersemangat ketika mengikuti Kursus Asas PRS.

Kursus Lanjutan PRS nanti akan diadakan pada 18 sehingga 19 April ini sebagai kesinambungan kursus hari ini.

Program PRS disediakan bagi membantu para pelajar menangani masalah peribadi dan akademik dan PRS juga merupakan satu khidmat sokongan yang penting dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.

Ia juga bertujuan untuk mendokong hasrat Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 di samping melatih para pelajar bekerja dalam kumpulan dan melahirkan pelajar yang mempunyai jati diri unggul.

Kursus pagi tadi dimulakan dengan Sesi Kesedaran Kendiri dengan pengisian membina hubungan dan mari berkenalan serta sesi Ice Breaking yang telah dimudahcarakan oleh Pengiran Hajah Fatriah binti Pengiran Haji Bujang dari MSPSBS yang juga selaku setiausaha bersama kursus tersebut.

Hadir bagi menyaksikan kursus itu ialah Timbalan Pengetua Akademik Sekolah Menengah Berakas, Dayang Zaliha binti Haji Metussin serta guru-guru dari setiap sekolah yang menyertai.