Lebih 1,000 hilang tempat tinggal

Lebih 1,000 hilang tempat tinggal

KUDAT 24 Mei – Lebih 1,000 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Landung Ayang Laut, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4:50 pagi itu, sebanyak 250 buah rumah yang dibina di atas air musnah, namun tiada kemala­ngan jiwa dilaporkan, demikian menurut laporan Utusan Online hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kudat, Mohiddin Abdul Majid dipetik sebagai berkata,

pihaknya me­nerima panggilan kecemasan pada pukul 5:01 minit pagi sebelum tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba, puluhan rumah telah musnah 100 peratus dan api merebak dengan pantas disebabkan keada­an angin yang kuat selain rata-rata rumah diperbuat daripada papan.

Anggota Bomba dan Penyelamat Kudat cuba mengawal kebakaran di Kampung Landung Ayang Laut, Kudat.
Anggota Bomba dan Penyelamat Kudat cuba mengawal kebakaran di Kampung Landung Ayang Laut, Kudat.

“Kita mengambil masa hampir tiga jam untuk mengawal api daripada terus merebak ke Kampung Landung Ayang Darat yang berhampiran dengan kampung tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Difahamkan, kesemua rumah yang musnah merupakan rumah setinggan yang dibina oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).

Tambah Mohiddin, pihaknya mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan air walaupun terdapat tiga pili air yang disediakan Jabatan Air Negeri Sabah di kawasan berhampiran selain keadaan air laut yang surut.