Lebih 1,000 pasport ‘EU’ palsu dirampas

Lebih 1,000 pasport ‘EU’ palsu dirampas

PORT DICKSON, 24 Mei (Bernama) – Dua individu termasuk seorang wanita warga Perancis yang dipercayai dalang sindiket seminar ‘International Money Unit’ (IMU) ditahan dan lebih 1,000 pasport ‘European Union’ (EU) palsu dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Telok Kemang, di sini Jumaat lepas.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12:30 tengah hari itu, polis merampas tiga helai pakaian seragam dengan lencana Kesultanan Padangguni Inea Sinumo Wuta Mbinotiso (daerah istimewa) dan sekeping pas United Nation (UN) atas nama ‘Princess Edwige’.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Adzli Abu Shah berkata wanita warga Perancis yang menggunakan gelaran Princess Edwige itu telah menjalankan aktiviti seminar IMU di Ocean View Port Dickson sejak awal tahun 2014.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki warga Indonesia, 37, menggunakan dokumen perjalanan diri yang mengandungi pas lawatan sosial disyaki palsu manakala Princess Edwige, 59, gagal menunjukkan dokumen perjalanan diri dan pas yang sah.

Supt Adzli Abu Shah (tiga kiri) menunjukkan sebahagian daripada 1,000 pasport Eropah yang dirampas daripada satu sindiket selepas polis menahan dua orang termasuk ketua sindiket seorang wanita warga Perancis ketika mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson kelmarin. – Bernama
Supt Adzli Abu Shah (tiga kiri) menunjukkan sebahagian daripada 1,000 pasport Eropah yang dirampas daripada satu sindiket selepas polis menahan dua orang termasuk ketua sindiket seorang wanita warga Perancis ketika mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson kelmarin. – Bernama

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas antaranya empat keping beret warna biru, sebuah buku ‘Five Principles Of World Peace’ dan sebuah buku tebal ‘United Nation-WHF’ serta satu cop bertulis UN.EU.WHF.CDI, Community Corps Diplomatic International,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Adzli berkata kedua-dua mereka didapati memalsukan dokumen iaitu pasport yang dijual kepada peserta program IMU dengan menyatakan hanya pasport itu sahaja boleh digunakan untuk ke Brussels, Belgium bagi melaksanakan program IMU itu. “Kedua-dua mereka direman selama 14 hari bermula hari tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan maklumat, program IMU didakwa adalah satu program yang diperkenalkan pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan kerjasama Bank Dunia kononnya satu peruntukan dana wang akan diberikan kepada negara-negara miskin dan Indonesia adalah negara pertama dalam senarai.

ARTIKEL YANG SAMA