Lebih 1,000 penghijrah diselamatkan

Lebih 1,000 penghijrah diselamatkan

ROM, 10 Ogos (AFP) – Lebih 1,000 penghijrah diselamatkan ketika cuba menyeberangi Mediterranean pada hujung minggu, menurut pengawal pantai Itali semalam, sekali gus berjaya mengekang berulang lagi tragedi.

Beberapa buah bot yang penuh sesak para penghijrah berjaya dikesan semalam, dengan salah sebuah bot didapati berada dalam keadaan paling teruk ketika ia dikesan pada kedudukan 137 batu nautika di tenggara Sicily.

Kapal tentera laut Croatia SB72 Andrija Mohorovicic – yang merupakan sebahagian daripada pasukan operasi meronda dan menyelamat Triton Kesatuan Eropah (EU) di Mediterranean – bergegas mendekati bot berkenaan untuk memberikan bantuan, kata pengawal pantai.

Pada keseluruhannya, 671 orang – termasuk 48 kanak-kanak dan 108 wanita – diselamatkan dari kapal di laut lepas dalam lima operasi menyelamat berasingan pada semalam sahaja.

Sekumpulan pelarian Syria menunggu untuk diproses dokumen perjalanan mereka oleh para pegawai pantai Greek di pulau Kos di Greek, selepas menyeberangi sebahagian laut Aegean dari Turki. – Reuters
Sekumpulan pelarian Syria menunggu untuk diproses dokumen perjalanan mereka oleh para pegawai pantai Greek di pulau Kos di Greek, selepas menyeberangi sebahagian laut Aegean dari Turki. – Reuters

Bot peronda Itali, Diciotti menyelamatkan 400 penghijrah yang dibawa ke pelabuhan Pozzallo di Sicily dan dijadualkan berlabuh pada pagi ini, sementara kapal Croatia sedang menuju ke pelabuhan Augusta di timur pulau tersebut.

Pada Sabtu lepas lebih 400 penghijrah diselamatkan kebanyakannya di perairan Libya dalam operasi yang kapal Doctors Without Borders (MSF) Bourbon Argos turut mengambil bahagian, kata pengawal pantai.

Kira-kira 224,000 penghijrah melarikan diri daripada peperangan dan kelaparan tiba di Eropah melalui laut sejak Januari, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan Khamis lepas –98,000 ke Itali dan selebihnya 124,000 ke Greece.