Lebih 1,000 sertai larian amal

Lebih 1,000 sertai larian amal

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Lebih 1,000 peserta menyertai Larian Amal Ulang Tahun Majalah Plus+ sempena Hari Jantung Sedunia yang berlangsung di Jerudong Park Amphitheatre, pagi tadi.

Hadir bagi melancarkan acara tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku tetamu kehormat majlis yang turut menyertai larian Kategori 3km.

Larian tersebut menyediakan tiga kategori iaitu 10km, 5km dan 3km sebagai perlumbaan berhalangan untuk mensimulasikan pengalaman bagaimana serangan jantung berlaku berpandukan kepada sebab dan simptom-simptom saintifik.

Laluan berhalangan 3km menekankan pendidikan di mana para peserta melalui bagaimana sel darah merah bergerak menerusi halangan yang pendek sebagai gambaran sebenar penyakit jantung.

Peserta larian 5km dan 10km pula dapat mengalami keadaan tersebut pada akhir garisan penamat untuk mendidik mereka bahawa gaya hidup sihat atau larian jarak jauh tidak bermakna mereka selamat daripada penyakit jantung. Ia adalah penyakit yang akan menyerang di luar jangkaan.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy ketika melancarkan larian amal yang diadakan di Jerudong Park Amphitheatre.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy ketika melancarkan larian amal yang diadakan di Jerudong Park Amphitheatre.
Lebih 1,000 peserta yang menyertai larian amal berkenaan.
Lebih 1,000 peserta yang menyertai larian amal berkenaan.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy turut menyertai larian amal sempena Hari Jantung Sedunia.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy turut menyertai larian amal sempena Hari Jantung Sedunia.

Para peserta yang menamatkan larian menerima pingat dan layak menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah berupa hamper dari Piccolo Café, Canon printers dan Cameras dari Interhouse Company, baucar Rizqun International Hotel, Cardiac Premier Health Screening Packages dari Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan tiket penerbangan misteri Penerbangan Diraja Brunei.

Acara amal ini memiliki konsep unik di mana para peserta berpakaian merah sebagai simbolik sel darah merah sementara ahli jawatankuasa mengenakan pakaian putih untuk mewakili sel darah putih.

Sumbangan daripada larian amal ini akan diberikan kepada HEART Brunei yang terdiri daripada sekumpulan sukarelawan yang memberikan sokongan kemanusiaan kepada pelbagai agensi kerajaan dan individu yang berkeperluan.

ARTIKEL YANG SAMA