Lebih 10,000 masih menganggur

Lebih 10,000 masih menganggur

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Sehingga bulan Januari 2016, bilangan pencari kerja dalam kalangan penduduk tempatan (rakyat dan penduduk tetap) berumur 18 hingga 59 tahun, ialah seramai 10,714 orang.

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, petunjuk pasaran tenaga kerja bagi Januari 2016 mendapati bilangan pencarum baru yang berdaftar di Tabung Amanah Pekerja (TAP) ialah seramai 558 orang, terdiri daripada 108 orang yang bekerja di sektor kerajaan dan 450 orang di sektor swasta.

Secara keseluruhan, jumlah pencarum yang baru berdaftar di TAP dari bulan Januari 2015 hingga Januari 2016 ialah seramai 7,358 orang.

Seramai 414 orang baru mendaftar sebagai pencari kerja di Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Menurut JPKE, Pihak kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan penyertaan anak-anak tempatan dalam pasaran kerja di negara ini khususnya di sektor swasta, melalui dua pendekatan.

Pendekatan tersebut ialah meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran anak tempatan lepasan peringkat ‘O’ dan ‘A’ dengan memberikan biasiswa atau latihan seperti Skim Biasiswa Khas, Skim Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional di Institusi Pengajian Swasta Dalam Negeri (BPTV), Skim Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional bagi Program Energy Industry Competency Framework (BPTV-EICF),dan Skim Latihan dan Pekerjaan (SLP).

Serta memberikan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan kepada anak tempatan melalui pengurangan kuota pengambilan pekerja asing yang berkemahiran rendah

Sebarang pertanyaan mengenai Perangkaan Pencari Kerja Tempatan ini bolehlah menghubungi talian 2230250 atau 2233344 atau melayari laman web www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA