Lebih $100,000 untuk anak yatim

Lebih $100,000 untuk anak yatim

Salah seorang wakil syarikat menyampaikan sumbangan kepada Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
Salah seorang wakil syarikat menyampaikan sumbangan kepada Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Bahyiah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Nasib anak-anak yatim di negara ini terus mendapat perhatian ramai melalui sumbangan yang diterima daripada SMS Prihatin yang berlangsung mulai 25 November 2015 sehingga 31 Januari 2016 dengan jumlahkutipan keseluruhan sebanyak $110.601.

Sumbangan melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) disediakan DST dan Progresif adalah untuk menampung jumlah anak yatim yang sehingga kini berdaftar di bawah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim (DANA) berjumlah 4,044 orang.

Promosi bagi SMS Prihatin pula disalurkan kepada orang ramai melalui rangkaian radio dan televisyen RTB serta di pawagam The Mall Cineplex dan Times Cineplex.

Sehubungan itu, majlis penyampaian sumbangan hasil SMS Prihatin untuk DANA dan sumbangan lain diadakan hari ini di Dewan Serba guna Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Sebanyak $94,698 dikutip melalui perkhidmatan SMS DST yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah DST, Awang Abdul Latiff bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, manakala sebanyak $15,903 dikutip melalui Progresif dan disampaikan oleh wakilnya, Dayang Normah binti Ahmad.

Kedua-dua sumbangan itu diterima oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Yang Berhormat Pehin turut menerima sumbangan daripada lima pihak yang keseluruhannya berjumlah $36,376 iaitu daripada DST sebanyak $20,000, Progresif sebanyak $3,863.99 hasil kutipan daripada kotak di cawangannya; Universiti Teknologi Brunei menyampaikan sumbangan yang dikutip daripada jualan amal dan karnival berjumlah $9,650 yang diserahkan oleh Ketua Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Ekonomi dan Keusahwanan, Majlis Perwakilan Pelajar UTB, Pengiran Anak Muhammad Abdul Qayyum bin Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Haji Muhammad Bey Muntasir.

Turut menghulurkan sumbangan ialah Unit Pendidikan Khas hasil kutipan acara Fun for Fund berjumlah $862.31 disampaikan oleh Pemangku Timbalan ketua Unit Pendidikan Khas, Dayang Hajah Noriah binti Haji Ibrahim, Syarikat Samima Sdn Bhd menyumbangkan $2,000 disampaikan oleh Pengarah Urusannya, Haji Hidayatullah.